Apandi Ali kini dibelenggu dosa dengan berbohong dan cuba melindungi Najib berhubung perkara itu
KUALA LUMPUR: Peguam Negara Apandi Ali perlu mengangkat sumpah dengan menjunjung al-Quran di dalam masjid bagi membuktikan tiada laporan daripada siasatan pihak berkuasa mengatakan Perdana Menteri Najib Razak bersalah berhubung isu mellibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadi miliknya.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Dr Mahathir Mohamad berkata, Apandi kini dibelenggu dosa dengan berbohong dan cuba melindungi Najib berhubung perkara itu.
“Ya, AG. (Pendakwa Raya) tidak perlu takut kepada saya. Ia perlu takut kepada Allah, tetapi yang jelas ia tidak takut kepada Allah.
“Jika benar tidak ada apa-apa kesalahan yang telah dilakukan oleh Najib, apa sebabnya laporan-laporan oleh Bank Negara, MACC (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Auditor General (Ketua Audit Negara) disembunyi dari orang ramai.
“Menyembunyi laporan dari orang ramai tentulah kerana kenyataan yang dibuat oleh Apandi tidak benar,” kata Dr Mahathir.
Memetik kenyataan di laman blog miliknya, www.chedet.cc, hari ini, bekas perdana menteri itu berkata, dengan menyembunyikan laporan siasatan pihak berkuasa, ia bermakna Apandi berbohong.
“Tuhan tahu Apandi cuba lindungi Najib daripada dihadapkan ke mahkamah setelah melakukan jenayah.
“Ini adalah suatu penipuan dan pemecahan amanah oleh seorang Pendakwa Raya. Perbuatan pecah amanah berdosa,” kata Dr Mahathir lagi.
Dr Mahathir mendakwa Apandi membuat banyak dosa dalam kes tersebut seperti dosa kerana membohong, dosa kerana melindungi perlakuan jenayah oleh Najib, dosa kerana menyatakan hanya takut kepada Allah sedangkan perbuatan, kenyataan dan pembohongannya menunjuk yang ia tidak takut buat dosa, tidak takut Allah.
“Tetapi Apandi boleh bersihkan dirinya dengan mengambil wuduk, menjunjung Al-Quran dan bersumpah dalam masjid bahawa tidak ada apa-apa dalam laporan-laporan yang diterima olehnya dari Bank Negara, MACC dan Auditor General yang menyatakan Najib bersalah berkenaan wang sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun banknya datang dari 1MDB dan penyerahan balik RM2.3 billion kepada seorang Arab Saudi adalah tidak benar.”
Beliau berkata, semasa bersumpah Apandi perlu disertai dengan beberapa imam masjid dan saksi lain supaya sumpahnya dan pengakuan niatnya tidak berbeza antara mulut yang menyebut dan hatinya.
“Dan dianya mengaku bahawa akan berdosalah ia jika sumpah yang dilafaz itu adalah pembohongan kepada makhluk dan dia akan terima balasan di akhirat dalam api neraka.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan