Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki
berpendapat DAP sengaja 'dipinggirkan' dalam senarai kepimpinan teratas
Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan ada agenda tersendiri.
Berkata kepada Antarapos, beliau percaya DAP akan mengatur strategi
tertentu jika gabungan pembangkang itu sekali lagi tewas dalam Pilihan
Raya Umum ke-14 akan datang.
"Dengan cuba menyembunyikan peranan DAP, sebab saya nampak DAP kini
disembunyikan agar tak nampak dominan. Apabila ini terjadi, ia merupakan
satu langkah yang akan memudahkan DAP untuk 'exit plan' daripada PH
jika PH kalah," katanya.
Zuhdi dalam pada itu mendakwa, timbul kemungkinan parti pimpinan Lim
Kit Siang itu akan menyertai Barisan Nasional (BN), menggantikan MCA
sebagai langkah terdesak untuk mengisi kepentingan politik parti itu.
Untuk rekod, MCA mencatatkan prestasi buruk pada dua pilihan raya umum
sebelum ini selepas rata-rata pengundi kaum Cina lebih memihak kepada
DAP dan PKR.
"Saya nampak DAP akan melompat ke BN, akan keluar dari PH dan menyertai
kerajaan. Kemungkinan bergabung dengan Umno tak boleh ditolak.
"Boleh jadi, sebab ia tidak ada yang mustahil. Berdasarkan maklumat
yang saya terima, komuniti kaum Tionghua sudah beri DAP dua kali
(kemenangan) pilihan raya, dan menyebabkan mereka (kaum Tionghua) rugi
dalam pilihan raya sebab mereka tak mempunyai menteri kabinet dalam
kerajaan.
"Mereka dan beri 'hint' kepada DAP supaya menang, jika tidak mereka
kena masuk BN. Dan ini adalah ramalan saya, jika PH kalah namun DAP
dapat jumlah kerusi besar, tak mustahil mereka bergabung dengan BN untuk
menggantikan MCA," ujarnya lagi.
Dalam senarai kepimpinan PH yang diumumkan dua hari lalu, Tun Dr
Mahathir Mohamad dinamakan sebagai Pengerusi PH dengan Datuk Seri Anwar
Ibrahim dilantik sebagai Ketua Umum, jawatan yang sama disandang beliau
dalam PKR.
Ketua Pembangkang yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail pula dilantik sebagai presiden gabungan empat parti pembangkang
itu.
DAP pula hanya diwakili Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang dilantik
sebagai timbalan presiden PH, sementara naib presiden DAP dari Sarawak,
Chong Chieng Jen, dinamakan sebagai naib presiden PH.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang bagaimanapun tidak dinamakan untuk mana-mana jawatan yang lain.
Semalam Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak
dalam reaksinya berpendapat, ketiadaan wakil DAP dalam tiga kedudukan
teratas itu seolah-olah memperlihatkan sama ada DAP telah dipinggirkan
oleh PH atau ia sebenarnya strategi supaya pakatan itu dilihat
didominasi oleh pemimpin Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan