Rabu, 1 Februari 2017

Tiada pakatan Umno-PAS di Kelantan

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Kelantan menafikan 'ramalan' seorang Ahli Parlimen DAP kononnya parti itu terpaksa membentuk pakatan pilihan raya bersama Umno dalam usaha mempertahankan negeri berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
 
Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, tiada sebarang pakatan antara PAS dan Umno di negeri itu setakat ini.  
 
"Setakat ini tiada sebarang bentuk pakatan, dan PAS Kelantan akan ikut keputusan yang dibuat di peringkat pusat," katanya kepada Antarapos.
 
Terdahulu, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong mendakwa PAS berkemungkinan tidak dapat mempertahankan Kelantan pada pilihan PRU14.
 
Memetik hasil kajian pihaknya, Chin Tong mendakwa kemungkinan tersebut boleh berlaku jika Amanah mampu memberikan cabaran serius kepada PAS di 10 daripada 31 kerusi DUN yang disandangnya.
 
"Jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula mampu memberi saingan di 5 daripada 12 kerusi DUN yang kini disandang oleh Umno, PAS dan Umno mungkin tidak lagi boleh bersenang-lenang dalam bertanding antara satu sama lain di Kelantan.
 
"Hakikatnya PAS mungkin terpaksa membentuk pakatan pilihan raya bersama Umno di Kelantan, sama ada melalui pilihan atau kesesuaian," petik kata Ching Tong yang juga pengarah pendidikan politik DAP dalam blognya.
 
Che Abdullah yang juga ADUN Wakaf Baru dalam pada itu berkata, penyertaan Amanah untuk bertanding di kerusi PAS hanya akan memberi keuntingan kepada Umno-BN. 
 
"Kalau PAN (Amanah) bertanding pun, kita tak nampak mana-mana tempat yang PAN (Amanah) boleh menang, cuma mungkin di kawasan kita menang dengan majoriti kecil, mungkin PAN (Amanah) boleh membantu untuk menangkan Umno di kawasan tersebut," katanya lagi.
 
Beliau turut membidas Amanah yang menafikan dengan mulut kononnya mahu menentang Umno-BN sedangkan usaha yang diperlihatkan kini adalah sebaliknya. 
 
"Kita (PAS) tak perlu nafi dengan mulut, kita nafi dengan kerja dan di sini PAN (Amanah) yang buat kerja untuk membantu Umno di Kelantan, dengan mulut boleh jadi mereka kata nak kalahkan Umno, tapi kerja mereka di Kelantan ini adalah memenangkan Umno," katanya. 
 
Pada masa ini, PAS menguasai 31 kerusi DUN di Kelantan setelah Datuk Husam Musa keluar menyertai Amanah, PKR pula memperoleh 1 kerusi DUN manakala Umno memegang 12 kerusi DUN.
 
Dalam pada itu Che Abdullah juga ditanya sama ada rundingan antara PAS-PPBM yang sedang berlangsung di peringkat pusat akan memberi kesan kepada keputusan PAS Kelantan.
 
"Kita akan sesuaikan apabila ada keputusan di peringkat pusat, apa saja keputusan pusat, apabila ada keputusan, kita akan menjalankan keputusan tersebut dan kita yakin ahli PAS yang ada sekarang, adalah yang cukup faham dengan kerja berjemaah," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: