Sabtu, 4 Februari 2017

Pertandingan 3 penjuru di PRK Tanjong Datu

MALAYSIAKINI


Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu pada 18 Februari ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Reformasi Negeri (Star) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru.

Ia melibatkan calon BN Datuk Amar Jamilah Anu, Rapelson Richard Hamit dari PBDS Baru dan Johnny Aput (Star), lapor Bernama.

Ia diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK DUN Tanjong Datu Hamsein Atar di pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Lundu hari ini.

Calon Bebas Asbol Abdullah sebelum ini turut mengemukakan borang pencalonan calon tetapi ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, ia kerana beliau tidak membawa borang berkaitan pengisytiharan bankrap.

PRK DUN Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima Tan Sri Adenan Satem, akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

PRN Sarawak ke-11 Mei lalu menyaksikan Adenan, 72, memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi, yang hanya meraih 468 undi.

Kira-kira 250 petugas pilihan raya dilantik untuk mengendali proses PRK yang dianggar menelan belanja RM997,919, yang mempunyai 9,959 pemilih berdaftar, terdiri daripada 9,771 pengundi biasa dan 188 pengundi awal.

Pengundian awal akan diadakan pada 12 Februari manakala hari mengundi akan diadakan pada 18 Februari.

Tiada ulasan: