Jumaat, 10 Februari 2017

Mesyuarat pengurusan pada 13 Feb dijangka bincang peletakan jawatan Jamal

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengurusan parti negeri dijangka akan membincangkan peletakan jawatan Datuk Seri Jamal Md Yunos ketika mesyuarat pada Isnin ini.
 
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan bersabit peletakan jawatan Jamal.    
 
"Kita (bermesyuarat) pada 13 haribulan, insya-Allah jika tiada aral. 
 
"Agendanya, akan kita tentukan kemudian tapi insya-Allah kita akan bincang perkara ini, kerana ia melibatkan kepentingan parti," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Jamal pada Rabu lalu menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Umno Sungai Besar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen itu kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.
 
Menurut Jamal, tindakan itu diambil kerana beliau enggan membebankan Umno susulan penahanannya berhubung insiden pencerobohan sebuah pusat hiburan pada Disember tahun lepas. 
 
Dalam pertemuan bersama Noh, Jamal berkata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menghormati pendirian tersebut dan akan membawa perkara itu untuk dibincangkan di peringkat pengurusan parti.
 
Terdahulu, Jamal yang juga Pengerusi Gerakan NGO Malaysia, ditahan pada 2 Februari lalu  bagi membantu siasatan berhubung serbuan ke atas beberapa premis perjudian di sekitar Selangor, akhir tahun lepas.
 
Selepas dibebaskan daripada tempoh lima hari tahanan reman, Jamal pada Isnin mengumumkan akan meletak jawatan dalam parti. 
 
Dalam pada itu, Nadzari enggan mengulas lanjut bersabit peletakan jawatan oleh Jamal. 
 
Beliau sebaliknya menyifatkan ia adalah keputusan peribadi pemimpin berkenaan. 


Tiada ulasan: