shahbudindotcom
Beberapa
nama menteri segera muncul sebagai teka-teki apabila Menteri Bear
Selangor, Azmin Ali lewat petang semalam menulis di Twitternya
mengatakan terdapat seorang menteri kanan akan meletakkan jawatan kerana
enggan bersubahat berkaitan 1MDB.
Antara
nama yang awal disebut-sebut ialah Anifah Aman, Ismail Sabri Yaakob,
Khairy Jamaluddin, Shabery Cheek serta beberapa menteri yang lain.
Malah, ada yang turut menyebut nama Zahid Hamidi sebagai menteri yang
dimaksudkan.
Tetapi nama yang paling panas menjadi sebutan akan meletakkan jawatan itu ialah Anifah Aman, Menteri Luar Negeri.
Anifah
dikatakan ada memberitahu seorang kenalannya bahawa ke mana-mana negara
beliau pergi atau berjumpa pemimpin-pemimpin dunia, perkara yang sering
ditanya dan membuatkannya tidak dapat memberi jawapan tepat ialah
berkaitan 1MDB.
Pertanyaan
seluruh dunia yang berterusan itu diberitakan membuatkannya mula berasa
malu untuk terus memegang jawatan sebagai menteri.
Lantaran itu, beliau adalah menteri yang paling mungkin menepati sebagaimana maksud tweet Azmin itu.
Nama-nama
lain seperti Ismail Sabri, KJ dan Shabery Cheek pula, meskipun turut
menjadi sebutan, namun dilihat mustahil meletakkan jawatan kerana tidak
bersetuju dengan 1MDB, kecuali atas sebab-sebab lain seperti Ismail
Sabri yang dikatakan mungkin berbuat demikian kerana isu yang
dihadapinya berkaitan Annuar Musa yang berjawatan Ketua Penerangan UMNO.
Meskipun
Najib menafikan dakwaan Azmin itu sambil menyifatkan sebagai
pembohongan yang hanya bertujuan menimbulkan kekecohan kecuali nama
menteri terbabit didedahkan, Azmin kemudian pantas menjawab bahawa
sebagai Perdana Menteri, memanglah Najib akan menafikannya.
"Tunggu dan lihat, maklumat itu datang daripada orang yang berkenaan.
"Kita akan umumkan," kata Azmin lewat malam tadi.
Ia dengan sendirinya bermakna menteri terbabit ada bercakap sendiri dengan Azmin mengenai hasrat perletakan jawatannya itu.
Yang
menariknya, Najib sendiri turut meneka-neka, tercari-cari atau mungkin
mula menghubungi menteri-menterinya sepanjang malam tadi untuk
mengetahui siapakah di antara mereka yang dikatakan mahu meletakkan
jawatan itu.
Soalnya,
apakah melalui pendedahan awal oleh Azmin itu, menteri terbabit tetap
mahu meneruskan hasratnya berundur atau menarik baliknya sebagaimana
Speaker Parlimen, Pandikar Amin Haji Mulia dahulu yang pernah mengadu
kepada Tun Mahathir Mohamad mahu meletakkan jawatan, tetapi menariknya
balik setelah dipujuk oleh Najib Razak?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan