Jumaat, 3 Februari 2017

Majlis Syura Ulama mungkin tak setuju kerjasama PAS-PPBM, kata penganalisis

Antarapos

 

SHAH ALAM – Kerjasama politik antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mungkin tidak akan dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama PAS, demikian menurut Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Ini kerana ujarnya, wujud ketidakselarian dasar yang dibawa PAS yang memperjuangkan Islam berbanding dengan PPBM yang lebih fokus kepada menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Secara peribadi, saya melihat kemungkinan untuk Majlis Syura Ulama PAS meluluskan kerjasama politik PAS-PPBM tidaklah terlalu tinggi melainkan wujudnya jaminan bertulis daripada PPBM mengenai kesediaannya untuk menyokong perjuangan Islam PAS.

“Jika pemimpin PPBM terus tidak menyokong usaha PAS untuk memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta Mahkamah Syariah di Parlimen umpamanya, agak sukar untuk kerjasama politik PAS-PPBM diluluskan oleh Majlis Syura Ulama PAS,” katanya mengulas mengenai kerjasama antara PAS-PPBM.


Ujarnya Majlis Syura Ulama PAS berpegang kepada enam garis panduan konsep Tahaluf tertentu yang telah dipersetujui olehnya sebelum ini.

Antaranya adalah tahaluf mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam dan memperkukuhkan kedudukan umat Islam, serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam, juga dasar-dasar Islam dipertahankan.

“Oleh itu, jika ada sebarang kemungkinan kerjasama politik PAS-PPBM ini tidak akan membantu menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam atau akan menyebabkan dasar-dasar Islam tidak dapat dipertahankan, ia sudah tentu tidak boleh diluluskan oleh Majlis Syura Ulama PAS,” ujar beliau.

Sehubungan itu katanya, adalah terlalu awal untuk membuat apa-apa kesimpulan mengenai hasil mesyuarat PAS-PPBM sehinggalah ia diputuskan oleh pemimpin tertinggi dalam kedua-dua parti.

Pada Rabu lepas, Timbalan Presdien PAS Datuk Tuan Ibrahim dan Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan rundingan secara rahsia diantara kedua-dua pihak berhubung kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kelak.

Bagaimanapun, kerjasama itu tidak dapat diputuskan buat masa ini dan draf rundingan akan diteliti terlebih dahulu sebelum apa-apa keputusan dibuat kedua-dua pihak.

Oleh itu kata Kamarul, kedua-dua timbalan presiden berkenaan tidak punya kuasa untuk menentukan apa-apa keputusan berhubung kerjasama berkenaan melainkan dirujuk kepada kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.

“Timbalan Presiden, Naib Presiden mahupun Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat sekalipun secara bersendirian tidak boleh membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama politik PAS-PPBM walaupun mereka mencapai persetujuan dengan wakil-wakil PPBM dalam mesyuarat mereka.

“Begitu juga keadaannya dengan PPBM sendiri di mana wakil-wakil PPBM di dalam mesyuarat PAS-PPBM semalam sekadar boleh melaporkan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, selaku badan eksekutif tertinggi PPBM,” jelas Kamarul.

PAS dan PPBM semalam mengadakan mesyuarat tertutup di mana kedua-dua parti bersetuju untuk membentuk sebuah jawatankuasa induk bersama bagi merangka kerjasama dalam menghadapi PRU14.

PPBM sebelum ini berusaha keras bagi memujuk PAS supaya pada pilihan raya akan datang hanya menyaksikan pertanding satu penjuru di antara pembangkang dan BN.

Tiada ulasan: