Khamis, 9 Februari 2017

Frost, Chong Wei perlu ketepikan ego masing-masing

 Bernama
 
 
Kemarahan Chong Wei meledak apabila beliau mendapat tahu Frost memberitahu kepada individu yang dekat dengannya bahawa kecederaan terbaru yang dialaminya itu adalah pengakhiran kariernya sebagai pemain

PUTRAJAYA: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost dan jaguh badminton negara Lee Chong Wei perlu  mengetepikan ego masing-masing berhubung kontroversi yang melanda mereka.

Timbalan Presiden BAM Mohammad Norza Zakaria berkata mereka perlu bersikap lebih profesional dan meletakkan kepentingan BAM mengatasi segala-galanya demi masa depan badminton negara.

“Saya tidak mahu apa yang telah dicapai sebelum ini hancur begitu sahaja kerana Chong Wei merupakan aspirasi kepada semua pemain manakala Frost pula mempunyai KPI (Petunjuk Prestasi Utama).

“Frost mempunyai misi untuk meletakkan Malaysia sebagai negara ketiga terbaik dunia serta pemburuan emas Olimpik pertama untuk negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini, pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Musim Sejuk Sapporo, Jepun.

Mohammad Norza berkata keunggulan BAM yang berada di puncak sekarang adalah hasil sumbangan kedua-dua individu berkenaan.

“Perkara yang sedang berlaku ini adalah seperti kocakan air dalam gelas yang mana gelas itu tidak akan pecah,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, semua pihak perlu memberi ruang kepada Chong Wei untuk menenangkan fikiran serta kembali pulih seperti sedia kala.

“Buat Frost pula, saya rasa kami di BAM akan berbincang dengan beliau kerana mungkin cara orang Eropah ini berlainan dengan orang Asia dan sedikit keras, tetapi kita tidak boleh bersikap terlalu Asia kerana kita mahu jadi kelas dunia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin juga memberi jaminan untuk terus menyokong karier Chong Wei selagi pemain itu tidak menyatakan hasrat untuk menggantung raket.

“Sejak Olimpik lagi saya sudah katakan, selagi beliau nak bermain, kita akan sokong dan Chong Wei juga sebahagian daripada Program Podium di bawah ISN  (Institut Sukan negara),” katanya.

Kemarahan Chong Wei meledak apabila beliau mendapat tahu Frost memberitahu kepada individu yang dekat dengannya bahawa kecederaan terbaru yang dialaminya itu adalah pengakhiran kariernya sebagai pemain.

Ini berikutan kecederaan MCL (‘Medical Collateral Ligament’) yang dialami Chong Wei ketika latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, Sabtu lepas.-Bernama

Tiada ulasan: