MALAYSIAKINI
Dua ahli perniagaan cedera parah dalam kejadian yang didakwa mereka serangan seekor gajah liar di Km 20, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun, dekat Gerik semalam.
Kejadian dikatakan berlaku pada jam 5.30 petang dan menyebabkan Poh Keat Chye, 48 dan wanita Indonesia Edris Suparti, 40, masing-masing mengalami patah tulang rusuk dan kini dirawat di Hospital Taiping.
Bercakap kepada pemberita selepas melawat mangsa hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Perak Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kedua-duanya dalam keadaan stabil.
"Berdasarkan percakapan mangsa, mereka memberhentikan kereta di tepi jalan dan lelaki itu masuk kira-kira 20 meter ke dalam hutan berdekatan untuk membuang air kecil tanpa menyedari terdapat seekor gajah liar.
"Mangsa cuba lari tetapi gajah menariknya dengan belalai sehingga dia terjatuh sebelum memijak mangsa manakala wanita itu pula yang menunggu di luar kereta terjatuh ketika cuba melarikan diri," katanya.
Dr Mah berkata walaupun mengalami kecederaan, wanita itu berupaya membawa lelaki tersebut ke dalam kereta sebelum memandu ke Hospital Gerik.
Kedua-dua mereka kemudian dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut, katanya.
Sementara itu, abang mangsa Robert Poh, 60 berkata ketika kejadian, adiknya dalam perjalanan dari Terengganu ke Pulau Pinang untuk menghantar Edris pulang ke Jakarta.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan