Ahad, 12 Februari 2017

DAP Mula Bimbang Kehilangan Selangor Kerana Masih Lagi Gagal Pikat PAS





 Walaupun DAP sudah mengikat perjanjian dengan PKR, PAN dan PPBM, namun parti itu melahirkan kegusaran bakal kehilangan Kerajaan Negeri Selangor jika PAS masih lagi enggan berkerjasama dengan Pakatan Harapan dan kekal dalam blok ketiga.


Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, muafakat antara pakatan harapan dan blok ketiga pembangkang menerusi formula satu lawan satu perlu dimuktamadkan sebelum menjelangnya PRU14.

Ng berpendapat formula itu bukan saja bagi mengekalkan pemerintahan kerajaan negeri, malah mampu merampas kerusi BN di Selangor.

“Saya jamin kemungkinan kita akan menang lebih besar dan menambah lagi kerusi daripada pilihan raya yang lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Ng yang juga ADUN Sekinchan berkata, beliau mengambil pendekatan positif berhubung formula itu meskipun di peringkat Pusat terdapat perbezaan pendapat dan pertelingkahan dari segi pendirian masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, di Selangor, kebijaksanaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dapat menyatukan pemimpin Pakatan Harapan dan blok ketiga untuk bermuafakat dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya yakin formula satu lawan satu di negeri Selangor akan tercapai kerana kerjasama dan muafakat yang baik di kalangan pimpinan politik di negeri ini.

“Kita lebih matang di negeri Selangor, walaupun ada pemimpin PAS…kita masih sebahagian daripada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut menaruh harapaan tinggi terhadap PPBM yang disifatkannya mampu melonjakkan sokongan di negeri ini.

“Peluang untuk kita kekal di negeri ini cukup baik dan yakin BN tidak berpeluang untuk rampas Selangor,” katanya.

Tiada ulasan: