Khamis, 2 Februari 2017

ADUN DAP tak setuju HARAPAN protes Trump

Geraldine Tong


Seorang dariada ADUN dari DAP, Chow Yu Hui, menyatakan rasa tidak bersetuju dengan pendirian partinya untuk menyertai protes membantah dasar AS sejak negara itu ditadbir Donald Trump.

Chow yang mewakili DUN Bilut di Pahang berkata, beliau melihat tindakan itu sebagai dwistandard.

"Kita tidak sesuai membantah larangan AS terhadap rakyat dari tujuh negara Islam ketika kita di Malaysia masih bersetuju dengan larangan kemasukan atlet Israel.

"Ini double standards (dwistandard)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Sebelum itu Chow menyuarakan pandangannya mengenai isu berkenaan di Facebook.

Difahamkan kenyataan itu merujuk kepada kenyataan DAP Perak yang menjarakkan diri daripada pemimpin akar umbi yang mengecam larangan terhadap atlet Israel memasuki Malaysia pada 2015.

Atlet terbabit sepatutnya menyertai kejohanan perahu layar di Langkawi.

Protes berkenaan akan diadakan di depan Kedutaan AS di Kuala Lumpur esok.

Ia awalnya dicadangkan Ketua Sekretarian Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah yang menyatakan bantahan terhadap dasar larangan dikuatkuasakan Trump hanya seminggu selepas mengangkat sumpah sebagai presiden AS.

Melalui perintah eksekutif itu Trump melarang kemasukan warga Iran, Iraq, Syria, Libya, Yaman, Somalia dan Sudan ke AS.

Parti lain buat apa mereka mahu

Sementara itu Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP, Chiong Yoke Kong, berkata walaupun dia tidak membantah protes berkenaan, ia sepatutnya tidak dibuat begitu awal.

"Sebelum orang ramai benar-benar memahami arahan Trump, masih ada ruang untuk berbahas, bukan terus mengadakan protes," katanya.

Untuk rekod, protes esok turut tidak disertai Pemuda Umno dan PAS.

Memetik kenyataan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii, Malaysiakini pada 31 Januari lalu melaporkan, mereka mempunyai pandangan berbeza terhadap Trump walaupun mengakui presiden itu bersikap "anti-Islam."

“Sekatan Trump terhadap tujuh negara itu isu kedaulatan.

“Kamu tidak boleh samakannya dengan isu kemanusiaan, seperti apa yang berlaku pada orang Rohingya di Myanmar,” katanya.

Naib Ketua Pemuda PAS Mohd Khairul Nizam Khairuddin pula berkata mereka tidak akan menyertai himpunan HARAPAN itu kerana akan mengambil langkah sendiri melarang bantahan berkenaan.

"Parti lain mereka boleh buat apa yang mereka mahu,” katanya.

Mohd Khairul Nizam juga berkata, PAS akan terus membangkitkan isu melibatkan kepentingan Islam dan umatnya, sama ada di peringkat dalaman atau luar negara.

Hari ini Pemuda PAS menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan AS dan menuntut larangan berkenaan ditarik serta-merta.

Delegasi itu diketuai Mohd Khairul Nizam dan diterima pegawai politik kedutaan berkenaan, Tressa Rae Finerty

Tiada ulasan: