Ahad, 9 Oktober 2016
Dr Mahathir, Muhyiddin perlu lebih fokus dalam gerakannya
Oleh Zulkifli Sulong
Sejak kemasukan Datuk Husam Musa ke dalam Amanah, politik Kelantan semakin panas. Ada sahaja isu pertentangan antara pembangkang dan kerajaan negeri di media, khasnya media sosial.
Daripada isu durian kunyit kepada kemasukan Husam ke dalam Amanah, bangunan Pusat Khidmat DUN Salor, tanah balak Orang Asli dan terkini isu air terjun Dakota.
Semuanya memperlihatkan ada usaha yang tersusun rapi dari pembangkang untuk mengambil alih kerajaan negeri Kelantan atas nama menyelamatkannya daripada jatuh ke tangan Umno.
Adun Salor itu nampaknya berjaya mengumpulkan semua tokoh bersama beliau. Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sehinggalah bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim yang jelas menyokong gerakan Husam ini.
Dr Mahathir akan turun lagi ke Kelantan 14 Oktober ini untuk bersama Husam dan Datuk Rosli Ibrahim (bekas ahli PAS dan pemimpin Umno dan Semangat 46) atas jemputan Zaid. Bekas ahli parlimen Kota Bharu itu menyusun khas majlis ini untuk menggoncang Kelantan.
Dengan tajuk program, “Mengapa kita boleh menang”, Zaid yakin akan menerima sambutan baik termasuk dari pengundi di luar Kelantan dengan mensasarkan 10,000 kehadiran pada majlis yang akan diadakan di Tunjong itu.
“Kita bukan mahu menang Malaysia sahaja tetapi kita mahu menang Kelantan juga. Kita nak sapu bersih dan membawa era baru di Kelantan,” kata Zaid kepada FMT menyokong gelombang yang dibawa Husam ke Kelantan.
Jika menang pusat dan Kelantan, kata Zaid, rakyat negeri pantai timur itu paling untung kerana Dr Mahathir sebelum ini sudah berjanji akan memberikan royalti minyak untuk Kelantan yang tidak pernah diperolehi sebelum ini.
Belum jelas
Namun, ketika Kelantan dilihat bergegar dengan isu dan program yang dibuat, gerakan yang dibuat Dr Mahathir dan Muhyiddin belum nampak jelas lagi.
Cubaan Muhyiddin merapati PAS mendapat sambutan suam-suam kuku sahaja dari pimpinan PAS dengan mesej yang bercampur aduk antara positif dan negatif.
Ketika Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali memberi mesej yang jelas iaitu PAS akan bekerjasama dengan PKR dan PPBM dalam pilihan raya umum nanti, pemimpin lain pula memberikan kenyataan bertentangan.
Ia termasuk Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, Ketua Pemuda Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, bahkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, memberikan reaksi negatif kepada permintaan Muhyiddin.
Semalam, Muhyiddin memberikan harapan kerajaan BN Kedah akan jatuh selepas menjatuhkan bekas menteri besarnya Datuk Seti Mukhriz Mahathir.
Ini kerana, menurut Muhyiddin, menteri besar baru, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak diterima baik rakyat negeri Kedah.
“Selepas Mukhriz disingkirkan…mungkin sudah cukup matang untuk BN tumbang, sebab saya tengok sentimen rakyat Kedah selepas peristiwa itu berlaku ia amat tidak baik bagi BN, penerimaan mereka kepada MB baru (maaf cakap) tidak sehebat Mukhriz,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian semalam.
Mukhriz dipecat daripada Umno pada Jun lalu, dan disingkirkan sebagai menteri besar Kedah meskipun beliaulah yang berjaya merampas negeri jelapang padi itu daripada PAS pada 2013.
Namun, tidak ada penjelasan dan gerakan yang jelas bagaimana Kedah boleh dijatuhkan dan kenapa ianya perlu.
Apa isunya, apa yang digerakkan, siapa tokohnya masih belum jelas lagi.
Orang ramai belum pasti kenapa Kedah akan benar-benar jatuh sehingga kini sebagaimana gerakan yang dibuat di Kelantan.
Tokoh politik Kedah juga belum jelas ke mana mereka mahu pergi. Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar belum jelas ke mana mahu pergi – PPBM atau Amanah atau terus kekal bersama PAS.
Begitu juga kedudukan Mukhriz sendiri yang dikatakan mahu dilantik sebagai timbalan presiden PPBM sebelum ini tetapi terus kekal di tangga naib presiden sahaja.
Selain Kedah, Johor juga dilihat menjadi tumpuan PPBM dan Amanah untuk pilihan raya umum akan datang. Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata beliau akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Johor.
Gabungan beliau dengan Muhyiddin yang juga orang Johor kelihatan ada potensi untuk menggerakkan rakyat Johor bangkit dan merealisasikan impian itu.
Namun sehingga kini tidak ada gerakan yang jelas terlihat di Johor dalam melaksanakan agenda itu.
Pendek kata, Dr Mahathir dan Muhyidin perlu lebih fokus dalam gerakan mereka jika benar cita-cita untuk menjatuhkan BN itu mahu direalisasikan.
Sekadar berusaha memujuk PAS bersama bagi memastikan agenda satu lawan satu menjadi kenyataan belum menjamin agenda ini berjaya kerana mengikut pengalaman lalu, pemimpin utama PAS boleh membuat keputusan lain dengan kuasa yang ada padanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan