shahbudindotcom
Bercakap
dalam satu rakaman audio mengenai perpaduan, Najib Razak secara terbuka
melahirkan kebimbangannya terhadap dua individu yang dianggapnya
merupakan ancaman kepada negara.
Walaupun
tidak menyebut nama, dua individu itu tidak lain ialah bekas Ketua
Pembangkang, Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir
Mohamad.
Meminjam kata-kata Abdul Rahman Dahlan, hanya orang bodoh saja yang tidak memahami siapa individu yang dimaksudkan Najib itu.
Kata
Najib, fasa pertama kepada ancaman perpaduan itu timbul pada 2008
melalui beberapa isu perkauman dan kes mencabar Perlembagaan, manakala
fasa kedua apabila seorang pemimpin lama menubuhkan parti politik baru
yang mengakibatkan kuasa politik Melayu berpecah kepada lima.
Tambahnya,
ancaman fasa ketiga dijangka akan berlaku berikutan pemimpin fasa
pertama dan fasa kedua itu sudah berbaik-baik dan bersalaman sekarang
ini.
Benarkah Anwar dan Tun Mahathir merosak perpaduan dan merupakan ancaman kepada negara?
Apa dan di mana rosaknya perpaduan yang diakibatkan oleh Anwar dan Tun Mahathir selama ini?
Tidakkah
Anwar dengan perjuangannya dan Tun Mahathir juga dengan perjuangannya
dan mereka berpadu tenaga sekarang ini adalah merupakan sebahagian usaha
yang murni ke arah penyatuan rakyat dan seterusnya menyelamatkan
negara?
Bukankah
perpaduan yang longgar dan timbulnya pelbagai isu mengenai perpaduan
selama ini lebih banyak berpunca daripada kelemahan Najib sendiri dalam
menangani pelbagai isu yang timbul?
Hakikatnya,
perpaduan tidak ada masalah di negara ini. Sesama rakyat masih boleh
hidup akan harmoni sama ada berjiran, makan semeja, bekerja sepejabat,
saling menumpang kereta, berpakat dalam perniagaan dan sebagainya lagi.
Masalah
kita bukan perpaduan. Masalah kita ialah kehidupan rakyat makin
tertekan yang diakibatkan kelemahan pemimpin mengurus negara dan memberi
kesejahteraan kepada rakyat, sambil berlakunya aktiviti pencurian dan
samunan di siang hari.
Jika
mahu disebut mengenai kemelut dalam negara, selain kerana kelemahan
Najib sendiri dalam memimpin negara, harus disedarinya juga bahawa ada
dua individu lain yang lebih merosakkannya.
Pertama, Rosmah Mansor dan kedua, Jho Low.
Jika
Rosmah tidak kalut dengan kemewahan dan pembaziran sehingga menjadi
bualan hangat di dalam negara dan juga antarabangsa, malah berperanan
sebagai isteri yang sebenar sebagaimana watak Tun Siti Hasmah atau Dr
Wan Azizah ketika Tun Mahathir dan Anwar menggenggam kuasa, barangkali
banyak kekalutan dalam negara ini dapat dielakkan.
Sejak
2009, isu campurtangan beliau, kemewahan, pembaziran dan perbelanjaan
juta-juta yang dikaitkan dengan dirinya, terus menjadi antara penyebab
letihnya bibir rakyat mengomel dan berbicara.
Selepas
PRU 2013 pula di mana timbulnya isu 1MDB dengan beban hutang tinggi
tetapi ada poket yang tiba-tiba berisi, malah beberapa negara sudah mula
mengambil tindakan, nama Jho Low tiba-tiba hangat membasahi gusi.
Malah
untuk fasa-fasa seterusnya, selagi Najib memimpin negara ini, nama Jho
Low akan terus menjadi buah mulut sesiapa dan di mana jua. Malah, Rosmah
bukan saja akan kekal sebagai isterinya, tetapi juga dengan wataknya
yang seperti selalu.
Dalam
kepimpinannya dan apa yang berlaku kepada negara sekarang, mahu tidak
mahu, Najib seharusnya lebih menginsafi mengenai kehadiran dua individu
yang rapat dan selalu dikaitkan dengan dirinya itu.
Sejak
2008, baik Anwar mahupun Tun Mahathir, kedua-dua mereka tiada kuasa
untuk berbuat sesuatu yang boleh merosakkan negara berbanding dua
individu lain yang bukan saja selalu berada di sisi Najib, tetapi rapat
dengan kuasanya sebagai seorang Perdana Menteri.
Malah,
tanpa kuasa dengan seorang sekarang berada di penjara dan seorang lagi
sudah 91 tahun usianya, merekalah kini sandaran dan harapan rakyat untuk
menyelamatkan masa depan negara.
Kepada Rosmah dan Jho Low, apa yang boleh kita sandarkan pengharapan kepada mereka?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan