KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim
menegaskan isi kandungan pendrive yang diterimanya sebelum ini bukanlah
bukti rasuah yang berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebaliknya, beliau menjelaskan isi kandungan pendrive itu adalah
mengenai salah laku dari segi teknikal seperti sikap pilih kasih,
jurulatih tidak profesional dan Exco yang tidak memainkan peranan untuk
menjalankan tugas dengan betul.
Malah, TMJ memaklumkan tindakannya menyerahkan pendrive berkenaan
kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hanya untuk
menyelesaikan kemelut yang melanda dan bukannya menggantung FAM.
"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, isi kandung dalam
'pendrive' yang saya terima adalah mengenai salah laku dari segi
teknikal seperti sikap pilih kasih, jurulatih tidak profesional dan Exco
tidak memainkan peranan dalam tugasan dengan betul.
"Saya berikan kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Menteri Belia dan
Sukan) untuk menyelesaikannya bukan untuk menghukum FAM dan menggantung
FAM. Sekiranya kita menggantung FAM, ia akan menjejaskan liga.
"Saya hanya menasihatkan kepada individu berkenaan untuk berundur
dengan cara baik tahun depan dan digantikan dengan individu yang lebih
layak menjalankan tugas," katanya di Facebook JOHOR Southern Tigers
(JST) malam tadi.
TMJ turut mengakui mengetahui siapa yang bakal menjadi Presiden,
Setiausaha Agung FAM dan jurulatih skuad kebangsaan yang baharu untuk
tahun depan.
"Saya mengetahui siapa Presiden FAM, Setiausaha Agung dan siapa ketua
jurulatih pasukan kebangsaan untuk tahun depan. Tetapi perlukah saya
berkongsi maklumat ini dengan penyokong bola sepak tanah air?
"Pernahkah saya dihargai sebelum ini dalam cuba menyelamatkan bola
sepak negara? Hanya rakyat Johor sahaja yang menghargainya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan