Ahad, 11 September 2016

PERKASA jangka PRU14 antara Mei-Jun tahun depan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUANTAN: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA meramalkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal diadakan dalam waktu terdekat - antara Mei dan Jun tahun depan. 
 
Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berkata, ramalan tersebut dibuat berdasarkan beberapa faktor penting terutamanya kelulusan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru-baru ini. 
 
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berperanan sebagai presiden parti, manakala bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pengerusi.
 
"Saya tidak fikir selepas kelulusan PPBM, akan ambil masa setahun atau dua tahun lagi baharu pilihan raya umum diadakan. Ia pastinya memberi peluang kepada parti baharu itu untuk mengumpul kekuatan.
 
"Kedua, apabila dilakukan dalam waktu terdekat parti pembangkang tidak dapat bersatu terutama Pas dan PAN, Pas dengan DAP," katanya. 
 
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama pimpinan PERKASA negeri semalam.
 
Ibrahim berkata dalam konteks politik, PERKASA mengambil pendekatan memberi kebebasan kepada ahlinya untuk menyokong mana-mana parti politik.
 
Namun, mereka tidak boleh menggunakan nama pertubuhan itu ketika bersama dengan parti politik, kata beliau.
 
 

Tiada ulasan: