Jabatan Penjara Malaysia hari ini menjelaskan penjara bukan tempat rekreasi atau hotel yang perlu memberikan layanan istimewa dengan segala kemudahan yang boleh diperolehi oleh pelanggan.
Lantaran itu segala kemudahan yang diberikan kepada banduan bukan satu keistimewaan tetapi ianya hanya keperluan asas yang penting untuk penjagaan kesihatan.
Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim dalam kenyataannya berkata, banduan yang diputuskan oleh mahkamah masuk ke penjara adalah untuk menjalani hukuman dan pemulihan diri.
Oleh itu perlu wujud sekatan terhadap kebebasan diri dan dalam semua aspek banduan berkenaan terikat dengan peraturan penjara serta undang-undang lain yang berkaitan.
"Kita sebagai manusia yang bebas terikat dengan undang-undang, begitulah juga banduan perlu terikat dengan undang-undang serta perlu dididik dan disedarkan untuk mematuhi undang-undang.
"Berasaskan prinsip layanan secara profesional, adil dan saksama, sekiranya didapati mana-mana
kakitangan penjara telah memberikan layanan yang istimewa atau sebaliknya dengan melanggar ketetapan Akta dan Peraturan Penjara, maka Jabatan Penjara akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Baru-baru ini, pengamal undang-undang membidas cadangan agar Jabatan Penjara mewujudkan keadaan banduan diganggu tikus, lipas dan nyamuk sebagai sebahagian daripada proses pemulihan.
Dalam sebuah portal, peguam hak asasi manusia N Surendran berkata, cadangan itu mendedahkan banduan, keluarga yang melawat dan kakitangan penjara kepada risiko kesihatan dan memungkinkan penularan penyakit.
Surendren berkata demikian sebagai mengulas cadangan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah
yang menggesa mana-mana penjara yang memberikan ‘kemudahan bertaraf lima bintang’ kepada banduan berhenti berbuat demikian.
Menurut bekas hakim itu, keadaan yang selesa tidak bantu menginsafkan banduan, malah ada yang sengaja melakukan jenayah agar dapat menikmati kemudahan, jaminan tempat tinggal dan makanan di penjara.
Supri menambah, salah satu aspek yang menjadi keutamaan Jabatan Penjara ialah kebersihan dan kesihatan banduan agar mereka boleh menjalani penahanan dan juga pemulihan dengan sempurna, oleh itu usaha-usaha meningkatkan kemudahan kesihatan akan diteruskan.
Tegasnya, Jabatan Penjara Malaysia terikat dengan Akta dan Peraturan Penjara yang juga selaras dengan Standard Peraturan Minimum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Standard Minimum Rules (Mandela Rules) dalam melaksanakan tugas membina semula insan.
Akta dan peraturan berkenaan menetapkan banduan perlu diberikan layanan yang adil dan saksama antaranya dari segi penempatan, pemakanan, kesihatan, perjumpaan, komunikasi, kemudahan asas, latihan dan tatatertib tanpa mengira kelainan kedudukan, agama, kaum, jantina dan keturunan.
Melalui ketetapan tersebut, Jabatan Penjara sebagai institusi yang dipertanggungjawabkan membina dan memulihkan semula insan bergelar banduan perlu melaksanakan layanan secara profesional dan berperaturan.
Segala langkah dan tindakan yang diambil terutamanya dari segi kemudahan latihan dan pemulihan diri bukanlah satu keistimewaan, tetapi sebaliknya ia berteraskan kepada persiapan agar mereka tidak menyusahkan masyarakat dan kembali melakukan kesilapan setelah dibebaskan.
Peraturan-Peraturan Penjara 2000 juga menetapkan prinsip pentadbiran penjara iaitu:
i. Tatatertib dan kententeraman dikekalkan dengan adil dan tegas tanpa mengenakan sekatan yang melebihi daripada yang dikehendaki bagi jagaan selamat dan bagi memastikan kehidupan bermasyarakat yang teratur;
ii. Pengawai penjara hendaklah berusaha untuk mempengaruhi banduan-banduan itu melalui contoh teladan dan kepimpinan mereka sendiri; dan
iii. Pemerlakuan terhadap banduan adalah untuk menggalakkan mereka menghormati kendiri dan mempunyai perasaan tanggungjawab ke atas diri sendiri, membina semula semangat mereka, menyemai tabiat kewarganegaraan yang baik dan bekerja dengan tekun, untuk menggalakkan mereka supaya hidup dengan baik dan berguna setelah dibebaskan dan untuk menyesuaikan mereka untuk berbuat demikian. - MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan