MALAYSIAKINI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan
menjelaskan kenapa Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat tidak
menyebut nama sebenar ‘Malaysian Official 1' (MO1).
Merujuk kepada wawancara beliau dengan BBC, yang disiarkan
dalam laman sesawang perbadanan penyiaran itu, beliau berkata adalah
jelas apa yang disebut sebagai 'MO1' itu merujuk kepada Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak.
"Banyak yang lain juga disebut oleh DOJ. Tetapi, jelas sekali, tidak
seorang pun daripada mereka, termasuk MO1, dinamakan sebagai subjek
penyiasatan.
"Seperti
yang akan disahkan mana-mana peguam, perbezaan antara disebutkan nama
sebagai subjek dalam saman sivil, dan sekadar dirujuk dalam sesuatu
penyiasatan, adalah perkara hitam putih," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, kata Abdul Rahman, yang juga Pengarah Komunikasi
Strategik Barisan Nasional, setelah siasatan menyeluruh dilakukan
pelbagai pihak berkuasa, perdana menteri disahkan tidak terlibat dengan
sebarang salah laku.
"Maka, keterangan yang wujud adalah jelas dan perbuatan Tun Dr
Mahathir (bekas Perdana Menteri) untuk memberi gambaran buruk akan gagal
sekali lagi, sama seperti cubaan beliau sebelum ini untuk menumbangkan
kerajaan Malaysia yang dipilih secara demokratik telah mengalami
kegagalan teruk," katanya.
Abdul Rahman berkata Dr Mahathir dan sekutu baharunya daripada
pembangkang sengaja mencampuradukkan kedua-dua perkara itu untuk
memperdaya rakyat Malaysia.
"Kegagalan bantahan yang dianjurkan proksi mereka untuk bertanya
siapakah sebenarnya MO1, adalah tidak relevan kerana MO1 tidak dinamakan
sebagai subjek dalam mana-mana saman sivil DOJ," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan