MALAYSIAKINI
Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos menjelaskan pemberian
RM1,000 kepada setiap ketua cawangan dan perwakilan parti itu adalah
hasil sumbangan pihak tertentu dan tabungan yang dibuat mereka sebelum
ini.
Malah, Jamal berkata sumbangan tersebut diperolehi oleh mereka bagi
tujuan lawatan sambil belajar ke Dubai yang sepatutnya dijadualkan pada
awal tahun ini.
Bagaimanapun, kata Jamal lawatan tersebut terpaksa dibatalkan
berikutan nahas helikopter yang mengorbankan ahli parlimen Sungai Besar,
Tan Sri Noriah Kasnon di Sarawak awal Mei lalu.
“Ekoran pengumuman saya (Ahad lalu) ramai yang bertanya dari mana saya dapat wang tersebut.
“Sebenarnya ia adalah hasil kami menabung serta sumbangan ahli
korporat dan beberapa pihak lain untuk kami buat lawatan sambil belajar
ke Dubai pada awal tahun lalu.
“Tetapi pilihan raya kecil terpaksa diadakan ekoran insiden yang
melibatkan bekas ahli parlimen sungai Besar, Noriah Kasnon dan kita
terpaksa batalkan,” kata Jamal kepada Malaysiakini.
Malaysiakini pada Ahad lalu, melaporkan Jamal terpaksa membatalkan janjinya untuk membawa semua ketua cawangannya bercuti ke Dubai.
Sebaliknya, janji percutian itu ditukarkan dengan pemberian wang tunai berjumlah RM1,000 kepada setiap ketua cawangan berkenaan.
Namun, selepas mendapatkan penjelasan dari Jamal sendiri, pihaknya
berkata wang RM1,000 itu diagihkan kepada setiap ketua cawangan dan
termasuk 646 perwakilan Umno.
Bagaimanapun, susulan laporan itu, ahli parlimen Ipoh Barat, M
Kulasegaran mendesak Jamal mendedahkan sumber kekayaannya atau berdepan
siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mengulas lanjut, Jamal berkata sumbangan berkenaan juga dibuat beliau
kerana tidak mahu ada pihak di kalangan perwakilan parti yang berkecil
hati dengan tindakannya untuk hanya mengagihkan peruntukan kepada ketua
cawangan mereka.
Justeru, atas keadilan semua pihak beliau bertindak sedemikian.
“Apabila berlaku PRK saya lihat semua orang bekerja seikhlas hati, jadi bagaimana saya hanya mahu membawa ketua cawangan saja.
“Peruntukan ini agak besar sebab itu mesyuarat kali ini saya telah buat keputusan supaya peruntukan itu diberi sama rata.
“Semua orang dapat rasa dan tidak akan ada perasaan tidak puas hati
di mana kali ini saya bagi RM500 dan baki lagi RM500 kita akan beri pada
tahun hadapan. Maksudnya semua dapat,” kata Jamal.
Malah, ketika ditanya berapakah jumlah agihan tersebut ini jawapannya:
"Kos tiket penerbangan dan penginapan sahaja hampir RM700,00," katanya ringkas sebelum mengakhiri perbualan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan