Ahad, 4 September 2016

Jelajah Infratani: Selangor kongsi input dasar pertanian

HARAKAHDAILY 


 


KUALA LUMPUR: Prospek pertanian Negeri Selangor didedahkan secara terus kepada masyarakat menerusi penganjuran Program Karnival Jelajah Infratani.

Program di bawah gerak kerja Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib itu dilaksanakan secara berperingkat ke seluruh negeri, lapor SelangorKini.

“Program ini bukan sekadar menjurus kepada program pertanian, namun pengunjung juga turut diberi penerangan terhadap kemudahan dan infrastruktur lain.

“Selain itu, tujuannya sebagai platform kepada rakyat untuk bertemu seluruh agensi kerajaan dan bertanya sebarang maklumat dan aduan kepada agensi terlibat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Karnival Jelajah Infratani Peringkat Dun Kuang, hari ini.

Berapa agensi kerajaan terlibat sepanjang karnival berlangsung antaranya, Jabatan Pertanian Negeri, Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Pusat Wanita Berdaya (PWB), Perbadanan Kemajuan Pertanian dan banyak lagi.

Pameran dan program penerangan turut disediakan sepanjang karnival yang diharap mampu memberi pendedahan kepada umum.

Dalam perkembangan itu, Zaidy turut menyampaikan bantuan Skim Mesra Usia Emas peringkat Dun Kuang kepada 20 penerima.

Skim Mesra Usia Emas merupakan sebahagian daripada Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bertujuan memastikan masyarakat berpendapatan rendah dibantu.


Tiada ulasan: