Ahad, 4 September 2016

Isu muflis, gesa pelan tindakan kerajaan

SALMIYAH HARUN 



 

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor menyeru agar Kementerian Kewangan memandang serius dalam mengatasi golongan belia yang muflis akibat hutang pinjaman daripada intitusi kewangan.

Pengerusi Ikatan Selangor Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman  berkata, pihaknya sering kali menerima aduan daripada golongan muda yang berdepan dengan masalah ini termasuk juga kos sara hidup yang semakin menekan.

"Golongan muda atau belia tidak memilih untuk menjadi muflis tetapi dengan bebanan kos serta pendapatan meraka yang tidak dapat menampung kos yang ada sekarang ini menyebabkan terpaksa menghadapinya.

"Apatah lagi dengan komitmen yang tinggi mereka perlu tanggung setiap bulan, bukan isu mereka tidak mahu membayar pinjaman tetapi dengan pendapatan mereka yang tidak selaras dengan keadaan ekonomi yang ada serta kos kenaikan barang yang tidak dapat dikawal, menyebabkan mereka terlewat membayar pinjaman dan menjadikan ia tertunggak," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Dewan Tertinggi Ikatan Malaysia menggesa Perdana Menteri agar memandang serius tentang masalah ini serta mengkaji satu mekanisma baru dan bukannya meletakan kesalahan sepenuhnya kepada golongan muda dan belia jika mereka diisytihar muflis.

"Kita mahu keperihatinan dari kerajaan dalam menyelesaikan isu ini agar para belia dapat merasakan keperihatinan kerajaan terhadap mereka," jelas beliau.

Ikatan Selangor percaya dengan langkah baru ataupun mekanisma baru dari kerajaan dalam membantu menyelesaikan isu ini akan memberi kegembiraan kepada masyarakat yang tidak dapat dilupakan.

Ikatan Selangor juga berharap, kerajaan mengkaji semula had minumum hutang individu di sektor perbankan iaitu membolehkan mereka muflis dari RM30 ribu kepada yang lebih tinggi sebagai langkah baru bagi mengelakkan mereka mudah dimufliskan oleh pihak bank.

"Kita berpendapat dengan ruang yang lebih luas diberikan ini akan memberi peluang kepada mereka untuk mencari pendapatan sampingan dalam menyelesaikan segala hutang mereka.

"Dalam pada itu kerajaan tidak sepatutnya mengetatkan atau menghalang urusan mereka yang muflis ini dengan urusan-urusan kewangan, golongan ini perlu dibantu sepenuhnya agar hutang mereka dapat diselesaikan," tambahnya.

Difahamkan statistik sejak tahun 2010 hingga April 2015 sebanyak 107,000 individu telah diisytihar muflis.

Daripada jumlah itu 233,484 daripadanya melibatkan golongon belia berumur antara 25 hingga 34 tahun.

Seramai 1,469 belia di bawah umur 25 tahun turut menerima nasib yang sama manakala individu berusia antara 35 hingga 44 tahun pula merupakan golongan tertinggi diisytiharkan bankrap iaitu sebanyak 37,888 orang. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: