Sabtu, 17 September 2016

Al-Fatihah : TG Datuk Dr Haron Din - Istiqamah hingga akhir hayat


DETIK DAILY


 


TUAN Guru Datuk Dr. Haron Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rejab 1359 (Tarikh Hijrah ini mengikut kiraan Komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis. Berkahwin dengan seorang Isteri dan dianugerahkan Allah dua orang anak lelaki dan tiga perempuan.

Beliau dibesarkan dalam kalangan keluarga yang kuat mengamalkan ajaran agama Islam. Ibu bapa beliau adalah guru al-Quran yang mengajar bacaan al-Quran kepada masyarakat setempat. Beliau adalah anak yang ketiga daripada 10 orang adik beradik.

Mempunyai seorang abang dan kakak dan seorang adik lelaki menakala enam adik perempuan.Dua orang saudara lelaki beliau juga tokoh agama terkenal iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din. Ayahanda beliau dikenali sebagai sebagai Lebai Din.

Ustaz Haron Din menerima pendidikan awal di tangan ayah dan ibunya sendiri. Kemudian dimasukkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali. Seterusnya ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor.

Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965). Di kolej ini beliau memperolehi Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang kemudian telah menerima hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir (1966-1968). Dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperoleh M.A (Ijazah Sarjana) Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari ‘Ain Shams.

Setelah memperolehi Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah. Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang daripada Universiti Darul-Ulum Kaherah (1972-1974).

Pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985). Pada tahun 1986 beliau dinaikan pangkat Profesor.

Selain itu beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB; Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia; Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti; Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan; Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd; Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis; dan Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting

Dalam politik beliau menjawat pelbagai jawatan dalam PAS sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983); Ketua Penerangan PAS Pusat; Ahli Majlis Syura Ulamak PAS; Timbalan Mursyidul Am PAS dan yang terakhir ialah Mursyidul Am PAS hingga ke akhir hayatnya. –

Tiada ulasan: