Sabtu, 23 Julai 2016

Siapa pun ‘Malaysian Official 1’, kerajaan mesti bertanggungjawab

MALAYSIA DATELINE
 
 
Abdul Aziz BariAbdul Aziz Bari


Pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari, berkata kerajaan tidak perlu berdolak-dalik terhadap pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, sebaliknya mesti bertanggungjawab kerana 1MDB adalah syarikat kerajaan Malaysia.

Ini katanya termasuklah melalui campur tangan Yang di-Pertuan Agong.

Tindakan kerajaan yang disifatkannya sebagai cubaan ‘mengawal kerosakan’ itu bagaimanapun tidak menjadikan kerajaan dilihat bersih sebaliknya seolah-olah mengesahkan segala pendedahan yang dibuat pelbagai pihak termasuk parti-parti pembangkang, portal Sarawak Report dan blog-blog politik sebelum ini.
“Siapapun Malaysian Official 1 itu, 1MDB tetap milik kerajaan Malaysia. Kerajaan kena bertanggungjawab, kena jawab, dan yang akhirnya pada saya, Yang di-Pertuan Agong kena ambil tindakan. Jangan beri amaran lagi, perlu desak Najib buat tindakan yang sepatutnya,” tegasnya ketika dihubungi Roketkini.
Menurut Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu, pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang telah memalukan imej negara tersebut sekaligus menunjukkan agensi-agensi kerajaan berkaitan yang terlibat dalam penyiasatan kes 1MDB seolah-olah tidak berkelayakan atau bersekongkol dengan Najib.

“Maknanya seolah-olah agensi kita seperti polis kita, penyiasat, Peguam Negara kita, sama ada lemah atau tak berkelayakan atau tak bekerja atau bersekongkol dengan Najib,” ujar beliau.

“Ini sudah sampai ke tahap kritikal, kalau kerajaan tak buat apa-apa, dia boleh tenggelam, dan siapa yang bersama dia baik Peguam Negara, baik polis, mungkin akan tenggelam bersama. Kita tak mahu negara kita tenggelam bersama dia,

“Dia nak tenggelam tak apa. Tapi rakyat tak nak tenggelam dengan dia,” tegas Aziz.

Ditanya mengenai analisis pihak tertentu yang mengatakan BN akan menang besar jika pilihan raya diadakan sekarang, Aziz berkata sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan demikian.

“Kalau dia kata boleh menang kenapa pilihan raya yang dicadangkan di Pulau Pinang macam-macam dia kata?  Kalau dia yakin masuklah (buat pilihan raya),” ujar beliau.

Tiada ulasan: