MALAYSIAKINI
Keengganan DAP untuk 'merehatkan' Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam
pilihan raya mengejut di Pulau Pinang dikatakan menjadi antara punca PKR
masih enggan bersetuju dengan rancangan tersebut.
Menurut sumber yang dekat dalam perkara tersebut, PKR telah
meletakkan beberapa syarat untuk pihaknya bersetuju dengan rancangan
terbabit, walaupun sedar berisiko kehilangan beberapa kerusi jika
pilihan raya itu diadakan.
"Demi menjaga keharmonian dalam hubungan antara PKR dan PAS, pimpinan
utama PKR telah meminta DAP untuk 'merehatkan' AMANAH dari bertanding
di kerusi PAS pada pilihan raya negeri itu.
"AMANAH wajar direhatkan kerana masih 'baru' dan perlu lebih berusaha
untuk menempatkan namanya dalam persada politik negara dengan memberi
laluan kepada PAS," jelasnya kepada Malaysiakini.
Semalam, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
menegaskan, Pakatan Harapan mencari 'kemenangan bersama' jika kerajaan
Pulau Pinang mengadakan pilihan raya mengejut.
Kata menteri besar Selangor itu, wujud pelbagai analisis dibuat
mengenai cadangan berkenaan namun apa yang penting ialah selepas
keputusan diambil, kejayaan dicapai atas nama Pakatan Harapan, selain
hubungan dengan PAS.
"Kita telah belajar (daripada) pengalaman di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, dan sudah tentulah ianya memberi mesej.
"Rakyat beri mesej kepada semua parti-parti politik, justeru kita
perlukan masa untuk berbincang mencari apakah pilihan terbaik di Pulau
Pinang," tambah Azmin.
Keperluan menjalin hubungan baik dengan PAS juga penting bagi
mengelak 'tragedi' pertandingan tiga penjuru di kerusi N21 Sungai Acheh
semasa pilihan raya umum ke-13 kembali berulang.
Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS
bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan sekiranya pilihan raya
mengejut itu diadakan di Pulau Pinang.
"Ya sudah semestinya (menentang Pakatan Harapan). Kita tidak mempunyai pakatan dengan yang lain kecuali PKR," ujar Takiyuddin.
Mengulas lanjut, sumber itu menambah, pada masa yang sama, PKR turut
mahu DAP menyerahkan satu kerusi dewan undangan negeri di sebelah pulau
sebagai ganti rugi jika PKR kalah di salah satu kerusinya di seberang.
Justeru, jelasnya, DAP perlu akur dengan syarat-syarat ini setelah
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengakui tidak akan mengadakan
pilihan raya mengejut tanpa persetujuan bersama parti-parti sekutu dalam
Pakatan Harapan.
Selain itu, PKR juga harus berbincang dengan PAS untuk mengelak
pertandingan tiga penjuru jika DAP bersetuju untuk tidak meletakkan
calon AMANAH pada pilihan raya tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan