Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengambil kesempatan menyampaikan salam perpisahannya dengan mengkritik pemimpin Pemuda Umno.
Kritikan itu dibuat selepas Naib Pemuda Umno Khairul
Azwan Harun mendakwa ketua SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkonspirasi
untuk menjatuhkan perdana menteri dan kerajaan.
“Individu yang membuat laporan terhadap Tan Sri (Abu
Kassim) adalah individu yang tidak berilmu, tidak boleh membezakan
perjuangan (menentang) rasuah kerana sayangkan negara,” katanya.
Shukri berkata demikian dalam ucapan di Majlis Paluan Berundur di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Majlis itu dibuat susulan Abu Kassim, Shukri dan
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan) Datuk Seri Mustafar Ali
meninggalkan SPRM.
Khairul Azwan sebelum ini membuat laporan polis mendakwa
terdapat komplot melibatkan Abu Kassim bekas gabenor Bank Negara Tan
Sri Zeti Akthar Aziz dan bekas peguam negara Tan Sri Gani Patail.
Beliau mendakwa ketiga-tiga mereka disyaki menyalurkan
maklumat sulit berkaitan 1MDB kepada agensi asing, termasuk Biro
Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS), tanpa kebenaran.
Sementara itu, majlis perpisahan yang berlangsung hari ini dihadiri kira-kira 1,000 orang kakitangan SPRM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan