Isnin, 25 Julai 2016

Amanah umum sokong PRN Pulau Pinang pada mesyuarat MPPH nanti - Mat Sabu

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SELAYANG: Amanah akan mengumumkan sama ada menyokong atau tidak cadangan DAP mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) nanti.
 
Presiden Amanah, Mohamad Sabu bagaimanapun enggan memberitahu pihaknya sudah punya keputusan ataupun tidak.
 
"Kita (Amanah) umumkan setuju atau tidak dalam mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan.
 
"Seperti juga PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, kita umum melalui Pakatan Harapan," katanya kepada pemberita di Wisma Amanah Negara, hari ini.
 
Semalam Mohamad Sabu atau Mat Sabu memberitahu Amanah akan menyambung mesyuaratnya hari ini bagi mencapai kata putus berkenaan cadangan PRN itu.
 
DAP sebelum ini memutuskan mahu mengadakan PRN Pulau Pinang sebagai membantah dua pertuduhan rasuah yang di kenakan ke atas Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.
 
Seperti Amanah, PKR juga sehingga kini tidak memberikan kata putus untuk menyokong atau tidak cadangan DAP kali ini.
 
Dalam perkembangan lain, Mat Sabu menyerahkan kepada kepimpinan PAS untuk memutuskan akan 'bersama' parti baru yang akan ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
"Kita tidak tahu sama ada PAS akan sertai atau tidak tapi kita mengalu-alukan semua pihak berada dalam gabungan itu, kalau ia berlaku.
 
"Kami akan bersama dengan Pakatan Harapan, kita tidak pergi (menyertainya) secara bersendiri," ujarnya.
 
Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak menolak untuk berkerjasama dengan parti baru Mahathir jika matlamat dan perjuangan mereka selama ini tidak dihalang. 
 
Tun Dr Mahathir sebelum ini mengumumkan akan membentuk parti dan blok pakatan pembangkang baru untuk menentang BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Ia dijangka disertai sebuah parti baru, PKR, DAP dan Amanah.
 
Mengulas lanjut, Mat Sabu berkata bagi Amanah, partinya akan memberikan sokongan kepada mana-mana gerakan menentang Umno BN pada PRU14.
 
"Mesyuarat tadi kami tumpu hal ura-ura mahu wujudkan gabungan jadi kita bincang panjang hal itu, macam mana Amanah akan memainkan peranan kalau berlaku gabungan pembangkang untuk hadapi PRU14.
 
"Kita bincang baik buruk aspeknya, daripada semua parti pembangkang dapat berada dalam satu barisan untuk hadapi BN pada pilihan raya akan datang.
 
"Amanah akan bersama dalam gabungan itu, kalau jadilah," katanya lagi.
 
Antara individu yang dikatakan berminat berhubung parti baru itu termasuklah Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dan Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir.
 
 

Tiada ulasan: