Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Mengapa PKR masih belum yakin dengan cadangan DAP mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang dan menganggapnya kurang wajar dan kurang bermanfaat kepada sistem demokrasi dan rakyat?
Adakah PKR sebenarnya kurang yakin pada diri sendiri dan bimbang wibawa
dan potensinya akan terdedah pada umum dan Pilihanraya Negeri (PRN) itu
akan menjejaskan masa depan politiknya?
Bagi
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pimpinan tertinggi
partinya telah membincangkan dengan terperinci persoalan dasar berkaitan
rasional mengadakan pilihan raya mengejut di negeri berkenaan.
"Selepas perbincangan yang menyeluruh termasuk mengambil kira pandangan
masyarakat madani (civil society), mesyuarat telah memutuskan sebulat
suara bahawa PKR masih belum yakin dengan cadangan tersebut,” katanya.
Sebelum mesyuarat kelmarinpun, PKR sudah memberi bayangan betapa ia sebenarnya tidak tertarik dengan kecenderungan DAP mengadakan pungutan suara atau referendum terhadap kepimpinan parti itu di Pulau Mutiara.
Perkara pertama yang dipertikaikan oleh PKR ialah, usul PRN ole DAP
tidak boleh dibandingkan dengan beberapa inisiatif PKR mengadakan
pilihanraya kecil (PRK) sebelum ini.
Pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, perbandingan demikian
tidak tepat kerana PRN - jika diadakan – membabitkan 40 kerusi dalam DUN
Pulau Pinang, serta memberi implikasi kepada lebih satu parti.
Katanya, ia berbeza dengan tiga PRK yang disebut Setiausaha Agung DAP,
Lim Guan Eng yang dilakukan oleh PKR kerana ia hanya memberi kesan
langsung kepada PKR.
Menurut
Fahmi, PRK Permatang Pauh pada 2008 dan 2015 dibuat kerana 'pendakwaan
politik berterusan' ke atas Ketua Umum parti berkenaan, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
PRK pada 2008 diadakan apabila penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan bagi membolehkan Anwar kembali ke parlimen selepas tempoh larangan ke atasnya - selama lima tahun - berakhir.
PRK Permatang Pauh kedua pula diadakan apabila Anwar dihukum penjara untuk kali kedua dan demi meletakkan Wan Azizah sebagai ahli parlimen semula.
Kata Fahmi PRK Penanti pada 2009 pula dibuat sebagai reaksi kepada
permintaan DAP menggantikan Timbalan Ketua Menteri, Fairus Khairuddin
dari PKR yang prestasinya dipertikaikan.
Menurutnya untuk PRK Kajang pula ada beberapa perbincangan dengan DAP dan pimpinan Pakatan Rakyat dilakukan sebelum ia dibuat.
"Selepas kewajaran untuk PRK itu dibentangkan, pimpinan DAP memberi
sokongan kepada langkah mengukuhkan pentadbiran di Selangor," katanya.
Bagaimanapun umum dapat menduga bahawa sikap PKR terhadap PRN Pulau
Pinang ialah berasakan kebimbangan PKR sendiri bahawa ia akan ‘tercicir’
dalam usaha DAP membersih dan menggilap namanya melalui PRN berkenaan.
Berbeza
dengan pilihanraya umum (PRU) 2013 kerjasama politik di antara komponen
Pakatan Rakyat cukup utuh. Pengundi bukan Melayu yakin dengan PAS
kerana termakan kempen DAP bahawa PAS boleh dipercayai.
Pengundi Melayu pula yakin dengan DAP yang sudah ‘disamak’ imejnya oleh
kempen PKR dan Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim, bahawa parti itu adalah
‘lebih baik dan mulia’ berbanding Umno.
Bagaimanapun kini DAP menjaja ke seluruh pelosok negara bahawa PAS
adalah parti dolak dalik dan tidak boleh dipercayai. DAP menganggap
cita-cita PAS melaksanakan hukum Islam adalah bertentangan dengan
Perlembagaan negara.
DAP juga kurang menghormati PKR seperti yang dapat dilihat pada
tindakan DAP ‘menghukum” beberapa Adun PKR yang tidak menyokong
pendiriannya dalam isu menambak laut untuk pembangunan.
PKR dan DAP juga tidak menyembunyikan ketamakan masing-masing untuk
membolot lebih banyak kerusi DUN Sarawak dalam PRN itu Mei lalu. Mereka
sanggup bersilang senjata politik demi menunjukkan ego.
Mendepani isu PRN Pulau Pinang, PKR insaf kedudukan politiknya tidaklah
seampuh 2013. Ketika itu pemimpin de facto mereka, Anwar Ibrahim ada di
sisi dan bertindak sebagai ‘penggawa’ bagi Pakatan Rakyat.
PKR taat padanya. DAP juga menghormatinya, PAS kagum dengan kelincahan
pencak politiknya. Kekaguman ini secara langsung atau tidak menyemai
bibit perpecahan dalam PAS kemudian.
Apabila membandingkan dinamika Anwar dan pimpinan ulama PAS, ramai
profesional PAS berasa ‘ketinggalan’ berbanding PKR yang berfikiran
‘terbuka dan ke hadapan’. Maka berlakulah penghijrahan profesional ke
parti Amanah.
Berlatarbelakangkan senario ini, PKR nampaknya kurang yakin pada diri
sendiri dan ragu berhadapan dengan pengundi Pulau Pinang yang mungkin
melihat PKR kini tidak begitu dinamik seperti di bawah pimpinan Anwar.
Tambahan pula, di kalangan pimpinan PKR, tidak semua berani dan
bersedia ‘bertentang mata’ ketika berhujah berhubung soal halatuju
parti. Iri hati dan ego masih kuat merasuk.
DAP pula melihat tidak ramai pemimpin PKR yang boleh mewarisi ciri
kepemimpinan Anwar. Lantas tahap hormat dan kagum terhadap parti yang
lahir sebagai pembeza pimpinan Melayu dengan pimpinan Umno, berkurangan.
Realitinya, PKR masih kurang pasti PAS akan menggerakkan penyokong akar
umbinya di Pulau Pinang untuk menyokong calon-calon PKR dalam PRN ini.
Memang benar PAS parti pembangkang dan berseteru dengan Umno.
Bagaimanapun jika PAS memilih meletakkan calon menentang PKR dan Amanah,
sudah tentu nasib PKR terumbang ambing mempertahankan 10 kerusi DUNnya.
DAP
sudah berjanji tidak akan membuat keputusan PRN secara unilateral. Ia
akan merundingi dan mendapatkan konsensus daripada PKR dan Amanah.
Persoalannya, adakah tanpa persetujuan PKR, DAP mahu meneruskan PRN?.
Atau, sebagai jalan keluar mungkin DAP boleh menggunakan strategi PKR “menghidup dan membesarkan” imej Anwar ketika beliau difitnah politik?
Atau, sebagai jalan keluar mungkin DAP boleh menggunakan strategi PKR “menghidup dan membesarkan” imej Anwar ketika beliau difitnah politik?
DAP perlu memikirkan semula strategi PKR ini. Apapun bukankah Guan Eng
sendiri mengakui bahawa beliau pasti akan dipenjara kerana mendakwa
tuduhan kes rasuah terhadapnya bermotifkan politik.
Jika beliau dipenjara, Pulau Pinang akan bertukar Ketua Menteri. DAP
boleh sahaja memilih pemimpin DAP lain menggantikannya. Namun jika
beliau didapati tidak bersalah, beliau tentu boleh teruskan kerjaya
Ketua Menteri.
Bagaimanapun jika PRN diadakan, ada kemungkinan negeri itu akan
bertukar parti pemerintah. Atau, hanya DAP yang mengungguli DUN. PKR dan
Amanah tentu akan semakin jauh hati. Ini masa DAP mempamerkan sisi
ikhlasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan