Ahad, 31 Julai 2016

Mahathir sendiri kemuka pendaftaran parti baru

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Parti pembangkang baru yang di pelopori Tun Dr Mahathir Mohammad akan memohon pendaftaran tidak lama lagi, kata anaknya Datuk Seri Mukhriz .
 
Beliau berkata Mahathir sendiri dijangka mengemukakan permohonan itu secara peribadi kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS). 
 
"Seboleh-boleh yang dipersetujui rakan-rakan yang lain, Mahathir sendiri yang akan hantar borang ke RoS.
 
"Maka kita berharap RoS akan memberi pertimbangan sewajarnya dan tidak ada kekangan sengaja dihalang sebab ini amalan demokrasi. Benarkan parti ini didaftar seperti biasa," katanya ketika ditemui media di Majlis Sambutan Hari Raya Kelab Che Det di Yayasan Kepimpinan Perdana, petang tadi.
 
Mukhriz mengulas perkembangan parti baru yang dicadangkan bapanya sebagai usaha berterusan mengguling Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 
Parti baru itu juga dikatakan akan disertai bekas pemimpin Umno yang tidak sehaluan dengan Najib, seperti bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin;  dan bekas Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan.
 
Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah ditanya apakah respon parti-parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan yang lain terhadap idea bapanya itu.
 
"Ada berbincang dengan parti politik lain sebab tujuan ditubuhkan untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
"Respon baik dan semuanya bersemangat dengan hal pendaftaran parti baru," dakwa Mukriz. 
 
Sementara itu dalam hal berlainan, Mukhriz juga menyatakan sokongannya terhadap usaha Muhyiddin bersama PKR mengadakan Jelajah 1MDB.
 
Dalam penampilan dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Muhyiddin berkata mereka akan menumpukan usaha di kawasan bandar dan luar bandar.
 
 

Tiada ulasan: