Kesalahan itu menjejaskan kehidupan penduduk Kampung
Tanduo dan kampung berhampiran, selain kaum keluarga anggota keselamatan
yang terkorban.
KOTA KINABALU: Sembilan tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu terselamat daripada tali gantung dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Hakim Mahkamah Tinggi Stephen Chung menjatuhi hukuman itu hari ini terhadap warga Filipina Atik Hussin Abu Bakar, 45; Basad H. Manuel, 41; Ismail Yasin, 76; Virgilio Nemar Patulada alias Mohammad Alam Patulada, 52; Salib Akhmad Emali, 63; Al Wazir Osman, 61; Tani Lahaddahi, 63; Julham Rashid, 69; dan Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 53.
Pertuduhan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan ini memperuntukkan hukuman mati.
Dalam penghakimannya, Chung berkata tiada keterangan yang menunjukkan tertuduh terbabit secara langsung dalam pertempuran yang berlaku semasa pencerobohan itu, ataupun bukti mereka membunuh mana-mana anggota keselamatan secara kejam atau mencederakan sesiapa.
Beliau menegaskan orang paling utama dalam kes pencerobohan itu seperti Datu Agbimuddin Kiram dan ‘Jeneral Musa’ tidak dibawa ke muka pengadilan.
“Bukanlah tugas yang menyenangkan untuk menjatuhi hukuman sewajarnya terhadap tertuduh yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.
“Kesalahan ini menjejaskan dengan teruk kehidupan penduduk Kampung Tanduo dan mereka yang tinggal di kampung berhampiran, selain kaum keluarga anggota keselamatan yang terkorban,” katanya.
Chung turut menjatuhi hukuman penjara 18 tahun masing-masing terhadap Salib Akhmad, Al Wazir, Tani, Julham dan Datu Amir atas pertuduhan kedua menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas, manakala empat lagi – Atik Hussin, Basad, Ismail dan Virgilio – yang mengaku bersalah atas pertuduhan sama, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 13 tahun.
Hakim memerintahkan supaya hukuman penjara berjalan serentak dengan kesalahan pertama bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Turut disabitkan kesalahan menganggotai kumpulan pengganas ialah Timhar Hadil, 39, dan seorang rakyat tempatan Abd Hadi Mawan, 52, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan diperintahkan supaya menjalani hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Chung turut mempertimbangkan pengakuan bersalah warga Filipina Lin Mad Salleh, 50; Holland Kalbi, 50; dan Aiman Radie, 20, bagi kesalahan sama dan memerintahkan mereka masing-masing menjalani hukuman penjara 13 tahun bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Kesalahan menjadi anggota kumpulan pengganas tertakluk di bawah Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Dua lagi rakyat tempatan dalam kes itu yang mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 tahun bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Pabblo Alie, 66, mengaku bersalah mencari harta bagi manfaat sebuah kumpulan pengganas atau bagi berlakunya sesuatu perbuatan pengganas, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 130G (c) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, tertuduh wanita tunggal dalam kes itu, Norhaida Ibnahi, 49, warga Filipina, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bermula tarikh tangkapan kerana melindungi orang yang dia tahu merupakan anggota sebuah kumpulan pengganas.
Hukuman maksimum bagi kesalahan mengikut Seksyen 130K Kanun Keseksaan ini adalah penjara seumur hidup.
Peguam Datuk N. Sivananthan, yang mewakili tertuduh warga Filipina, menyuarakan penghargaan kepada mahkamah kerana anak guamnya, yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, dilepaskan daripada hukuman mati.
Beliau memberitahu mahkamah beliau akan mengemukakan permohonan untuk merayu terhadap hukuman dan sabitan ke atas anak guamnya.
Dalam rayuannya, beliau menggesa mahkamah agar mempertimbangkan peranan anak guamnya dalam kes itu, dan tiada bukti yang anak guamnya adalah orang kanan kepada dalang pencerobohan itu, Datu Agbimuddin dan ‘Jeneral Musa’, dalam tindakan pengganas berkenaan.
Sementara itu Ram Singh, seorang daripada peguam Ali, berkata rayuan akan dikemukakan berkaitan hukuman terhadap anak guamnya, manakala peguam Abdul Gani Zelika yang mewakili Hadi, pula berkata beliau belum mendapat arahan daripada anak guamnya sama ada untuk merayu terhadap sabitan dan hukuman ke atas Hadi.
Peguam Putli Noor Asikin Datu Gulam, mewakili Pabblo, berkata rayuan tidak akan dikemukakan bersabit hukuman ke atas anak guamnya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu mahkamah pendakwaan berhasrat untuk merayu terhadap keputusan mahkamah ke atas 11 tertuduh yang dilepaskan dan dibebaskan dalam kes itu.
Beliau menggesa mahkamah supaya mempertimbangkan kepentingan awam apabila menjatuhi hukuman, dan menyatakan bahawa kepentingan tertuduh tidak seharusnya mengatasi kepentingan serta keselamatan awam.
“Perbuatan keganasan kini fenomena rentas negara dan suatu cabaran kepada negara bertamadun. Ia ancaman global.
“Kami (pendakwaan) berhujah Yang Arif harus menggariskan batasan antara kesalahan yang dianggap sebagai biasa dan bukan biasa dalam menjatuhi hukuman sewajarnya,” katanya.
Dusuki berkata hukuman maksimum bukan saja menghalang bakal pesalah daripada melakukan kesalahan itu, tetapi akan turut menunjukkan keseriusan mahkamah dalam mengendalikan kesalahan itu.
Pendakwaan memulakan kesnya pada 6 Januari 2014 dengan 30 individu terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga lelaki tempatan, didakwa dengan pelbagai kesalahan yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo antara 12 Februari dan 10 April 2013.
Pendakwaan memanggil 166 saksi sepanjang 239 hari prosiding berlangsung yang berakhir pada 5 Januari tahun ini.
Pada 5 Februari, Chung memerintahkan 19 daripada 30 tertuduh supaya membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie.
Bagaimanapun, pada 23 Februari dan 24 Februari, sembilan daripada 19 tertuduh, termasuk dua rakyat tempatan, memilih untuk mengaku bersalah tetapi hakim menangguhkan hukuman sementara menunggu kes pembelaan selesai.
Empat daripada sembilan orang masing-masing berdepan dua pertuduhan – melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas. Bagaimanapun mereka hanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan kedua.
Seramai 20 saksi dipanggil pada kes pembelaan yang berlangsung selama 24 hari secara berperingkat antara 25 Februari dan 17 Mei.
Seorang daripada tertuduh warga Filipina, Hadil Suhaili, 68, yang sering sakit dengan mengalami masalah pernafasan teruk sepanjang perbicaraan, meninggal dunia pada 23 April semasa dalam tahanan.
Semalam, Chung berkata sabitan terhadap Hadil, yang didakwa menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas, tidak akan direkodkan berikutan kematiannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan