Khamis, 28 Julai 2016

Pilihan Raya Mengejut Hanya Memihak Kepada Umno - Nurul Izzah

Oleh: AKIL YUNUS 
 
 
Nurul Izzah Anwar
 
 
PETALING JAYA: Semua pembangkang berdepan risiko kehilangan kerusi jika pilihan raya negeri diadakan di Pulau Pinang, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

"Sebenarnya sekarang, kami semua berdepan risiko itu. Dengan kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru, secara teorinya, tiada siapa yang akan menang kecuali Umno," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Ditanya mengapa PKR enggan bersetuju dengan sekutunya, DAP dan Amanah untuk mengadakan pilihan raya negeri, Nurul Izzah mengulangi pendirian parti bahawa kebimbangan yang dibangkitkan oleh masyarakat madani perlu diambil kira.

"Tumpuan kami sekarang adalah untuk memastikan bahawa perbincangan dalaman berlaku pada tahap maksimum dan perbincangan awam dikurangkan ke tahap minimum," katanya yang jelas merujuk kepada posting Facebook Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua yang meluahkan kekecewaannya dalam politik terhadap individu yang dipanggil 'rakan'.

"Kadang kala, anda tertanya-tanya jenis rakan yang anda miliki. Apabila mereka berada dalam krisis, anda menyokong mereka.

"Kemudian pada suatu ketika di mana kami akan menghargai sokongan mereka, mereka membocorkan segala-galanya kepada media terlebih dahulu, meninggalkan anda dalam keadaan telanjang sepenuhnya.

"Atau mengumumkan kepada seluruh dunia secara terbuka sebelum mereka berbincang dengan kami terlebih dahulu," kata Pua dalam kenyataannya petang Rabu.

Ketua Biro Undang-Undang PKR Latheefa Koya tanpa menyatakan nama sesiapa, kemudian membuat posting di Facebooknya menulis mempersoalkan siapa yang membuat keputusan sebelah pihak sebelum ini dengan mengumumkan pilihan raya mengejut.

“Atau..siapa yang mengumumkan pembubaran Pakatan Rakyat secara sebelah pihak?

“Atau…siapa yang mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan – semua itu kepada media sebelum keputusan dimuktamadkan?” kata Latheefa.

Mengulas mengenai 'perang' sesama rakannya Nurul Izzah berkata Pua adalah 'rakan yang baik' yang sangat dihormati dan dijaga.

"Dia sentiasa ada untuk saya ketika susah dan senang dan saya sentiasa memilih memihak kepada persahabatan dan itulah yang paling penting kita perlu lindungi," tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai ini.
 
 

Tiada ulasan: