Zikri Kamarulzaman
Datuk Seri Najib Razak meraikan hari lahir ke-63 hari ini dan pada
masa sama ia adalah detik bersejarah kerana sudah 40 tahun beliau berada
dalam politik.
Najib memulakan kerjaya politiknya apabila dipilih mempertahankan
kerusi parlimen Pekan yang kosong selepas bapanya allahyarham Tun Abdul
Razak Hussein meninggal dunia pada 1976.
Beliau kemudian menjadi ketua pemuda Umno pada 1987 sebelum
perlahan-lahan meniti anak tangga setapak demi setapak menjadi perdana
menteri dan presiden Umno pada 2009.
Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata legasi Abdul Razak itu
berjaya mengubah kemerosotan Umno dengan "mengubah amalan demokrasi
pelbagai parti Malaysia menjadi sebuah negara pilihan raya satu parti".
Namun tidak seperti bapanya legasi Najib dalam Umno tidak begitu mengagumkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan (gambar)
berkata Najib adalah perdana menteri yang "ragu-ragu" tetapi tetapi
idealistik, yang berjanji untuk membawa perpaduan melalui "1Malaysia".
Melalui tindakan popular Najib menghapuskan Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO), selain berjanji untuk
menghapuskan Akta Hasutan dan membayangkan era baru dengan kerajaan
tidak lagi bertindak sebagai pihak yang serba tahu, sebaliknya akan
mendengar suara rakyat.
Bagaimanapun kata Wan Saiful rancangan Najib menjadikan Malaysia
progresif digagalkan apabila dia terlupa bahawa tindakan itu perlu
dilakukan bersama partinya.
"Mana-mana pemimpin yang mahu mengubah negara perlu mengubah partinya terlebih dulu.
"Saya fikir Najib terlupa dia perlu membawa parti bersama-samanya.
"Dia kemudian menyedari gagal meyakinkan penyokong tegar Umno bahawa mereka perlu mengubah pemikiran masing-masing," katanya.
Tekanan jadi kian kuat
Keadaan itu kata Wan Saiful menggagalkan usaha reformasi Najib kerana
dia juga meyakinkan penyokong parti utama BN untuk mengikuti
kepemimpinannya.
Sebaliknya, kata Wan Saiful, keadaan itu berakhir dengan Najib terpaksa mengikut apa yang dikehendaki pihak bawahannya.
Di sebalik usaha Najib, detik perubahan itu tiba apabila penyokong
Umno dilihat menghukum perdana menteri kerana cubaan reformasinya dengan
memberi undi popular kepada pembangkang pada pilihan raya umum 2013.
Dengan kepimpinannya goyah tahun berikutnya menyaksikan perubahan
dramatik pendirian Najib, terutama ketika perhimpunan agung Umno apabila
dia memungkiri janji menghapuskan Akta Hasutan.
Sebaliknya Najib mengumumkan rancangannya untuk mengukuhkan peruntukan itu seperti diperjuangkan ahli partinya.
Kemudian tekanan semakin memuncak dengan skandal 1MDB, termasuk daripada timbalan Najib ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Justeru Najib terpaksa menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menunjukkan kekuatan.
"Beliau dengan segera mengubah persepsi rakyat (bahawa dia seorang
yang ragu-ragu) dengan melakukan rombakan kabinet drastik pada tahun
lepas, selain membuat perubahan pada pelbagai institusi termasuk Jabatan
Peguam Negara," kata Wan Saiful.
Muhyiddin pula dipecat daripada jawatan sebagai timbalan perdana
menteri, manakala Tan Sri Abdul Gani Patain yang mengetuai siasatan
terhadap 1MDB digantikan dengan tokoh baru yang dilihat mesra kepada
kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan