Ahad, 24 Julai 2016

Puad dakwa Muhyiddin berbohong

Mohd Puad Zarkashi   


Saya sengaja mengambil sedikit masa sebelum membuat kenyataan kerana mahu melihat kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin terlebih dahulu dan melihat apakah lagi pembohongan yang ingin beliau lakukan.

Sebelum ini, terbukti beberapa kenyataan beliau berkaitan 1MDB bukan saja ternyata dangkal tetapi sarat dengan pembohongan.

Kenyataan terbaru beliau berkaitan Jabatan Kehakiman AS menunjukkan bahawa beliau tidak memahami proses undang-undang yang sedang berlaku dan masih mahu membohongi rakyat.

Pertamanya, Muhyiddin berbohong apabila menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengambil serius mengenai kenyataan Jabatan Kehakiman AS ini. Jelas perdana menteri dalam kenyataannya telah menegaskan bahawa kerajaan Malaysia memandang serius dakwaan Jabatan Kehakiman AS ini dan akan memberikan kerjasama penuh jika diminta.

Bagaimanapun, pendirian Malaysia adalah jelas bahawa proses undang-undang mesti dihormati. Biarlah tindakan saman sivil ini melalui proses yang sepatutnya dan setiap pihak yang dinamakan wajar diberi peluang membela diri dalam perbicaraan yang adil sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Kedua, Muhyiddin juga berbohong apabila mendakwa bahawa tindakan saman sivil ini adalah "bukti penipuan pihak yang dinamakan dan mereka mencuri duit 1MDB."

Muhyiddin gagal memahami kenapa Jabatan Kehakiman AS tidak mendakwa semua penama yang terbabit dan merampas setiap aset yang disenaraikan, sebaliknya hanya membuat saman sivil.

Tiada bukti wang hilang

Sebenarnya perkara ini telah diulas oleh ramai pengamal undang-undang dan mereka menjelaskan bahawa antara sebab utama kenapa Jabatan Kehakiman AS tidak membuat pendakwaan dan merampas aset-aset ini adalah kerana ia tidak mempunyai bukti kukuh.

Kes ini juga sedikit pelik kerana tindakan dibuat bersandarkan aduan Sarawak Report dan individu tertentu tentang kecurian. Bagaimanapun sejak hari pertama lagi, pihak yang didakwa menjadi mangsa kecurian ini, iaitu 1MDB telah menafikan bahawa wang mereka telah dicuri dan mereka telah membuktikannya dengan dokuken-dokumen berkaitan dan penyata kewangan diaudit.

Muhyiddin mendakwa terdapat kehilangan berbilion ringgit dari 1MDB sedangkan pada waktu yang sama 1MDB berulang kali menyatakan bahawa tiada bukti wang dalam kawalannya yang hilang.

Jika ada pertikaian sekalipun, ia hanya melibatkan wang yang berada di dalam kawalan syarikat IPIC dan Aabar PJS dari Abu Dhabi yang kini menjadi kes arbitrari.

Ketiga, Muhyiddin mendakwa apa yang terkandung dalam laporan Jabatan Kehakiman adalah "penemuan pasukan penyiasat AS",
sedangkan ia bukan penemuan sebaliknya hanya syak wasangka berdasarkan aduan yang dilaporkan kepada mereka.

Atas sebab itu sehingga kini Jabatan Kehakiman AS tidak mampu untuk membuat pendakwaan menggunakan prosiding jenayah biasa dan tiada sebarang pihak dalam kalangan penama yang didakwa.

Keempat, pelik apabila Muhyiddin mahu kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera mengikut undang-undang Malaysia ke atas MALAYSIAN OFFICIAL 1, Reza Aziz, Jho Lo dan nama-nama lain yang disenaraikan dalam laporan Peguam Negara AS hanya berdasarkan kenyataan Jabatan Kehakiman AS.

Soalan yang perlu ditanya kepada Muhyiddin adalah apakah asas untuk kerajaan mengambil tindakan? Jabatan Kehakiman AS sendiri belum benar-benar pasti mengenai dakwaan mereka kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh.

Dalam saman sivil ini tiada penama-penama yang didakwa atas kesalahan jenayah. Bagaimanakah Muhyiddin pula mahu kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera semata-mata kerana kenyataan Jabatan Kehakiman AS ini? Adakah kemahuan Muhyiddin ini masuk akal dan mengikut lunas undang-undang?

Kes saman sivil Jabatan Kehakiman AS ini sama sekali berbeza dengan kes skandal banglo Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Dalam kes Lim Guan Eng, terdapat bukti-bukti yang menunjukkan beliau terlibat dalam salah laku.

Bukan saja siasatan telah dibuat malah Lim Guan Eng juga telah didakwa di mahkamah. Tidak pernah pula kita mendengar Muhyiddin bercakap mengenai hal yang lebih nyata seperti ini. Sikap double standard dan berdendam Muhyiddin amat jelas dalam hal ini.


MOHD PUAD ZARKASHI anggota Majlis Tertinggi Umno

Tiada ulasan: