MALAYSIAKINI
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu sedang menunggu
persetujuan daripada PKR berhubung cadangan mengadakan pilihan raya di
Pulau Pinang.
Bercakap kepada media hari ini Lim membayangkan pengumuman mengenai
perkara itu akan dibuat apabila kedua-dua pihak mencapai persefahaman
mengenainya.
"DAP berpendapat kami perlu mengadakan pilihan raya negeri.
"Seperti yang saya katakan ia bukan untuk menyelamatkan Lim Guan Eng. Lim Guan Eng tak boleh diselamatkan.
"Tetapi ia adalah untuk menyelamatkan Malaysia, dan menyelamatkan Pulau Pinang," katanya di George Town, hari ini.
Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang sedang berdepan pendakwaan kes rasuah di mahkamah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 berkaitan tuduhan pengezonan semula sebidang tanah pertanian menjadi komersial.
ADUN Air Puteh itu juga didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan
berhubung pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn yang dikatakan
lebih rendah daripada nilai pasaran.
Penjual banglo itu Phang Li Khoon juga didakwa di mahkamah. Peguam
Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sendiri mengendalikan kes Lim.
Ada dua pilihan
Menurut Lim dia menjangkakan akan dipenjara selepas disabitkan kesalahan di mahkamah.
"DAP bersikap jelas berhubung isu pilihan raya negeri dan apa yang
diperlukan kini adalah persetujuan bersama daripada PKR (serta Parti
Amanah Negara).
"Kami mengadakan mesyuarat para Ahad. Kita tunggu pengumuman mengenainya," kata Lim dilapor Bernama selepas majlis perasmian sebuah simposium.
Ditanya sama ada pengumuman pilihan raya akan dibuat Lim berkata ada
kemungkinan ia akan dilakukan bagi memberitahu keputusan pihaknya.
Rabu lalu Lim berkata DAP tidak akan membuat keputusan sepihak
berhubung cadangan mengadakan pilihan raya negeri sebaliknya terus
berbincang dengan rakan sekutu dalam Pakatan Harapan.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy, dilaporkan
berkata DAP menyenarai pendek dua pilihan sebagai tindak balas terhadap
pertuduhan rasuah ke atas Lim.
Satu daripadanya, kata Ramasamy, adalah mengadakan pilihan raya
negeri untuk mengukur sokongan rakyat terhadap pendakwaan berkenaan.
Satu lagi pilihan adalah menunggu pilihan raya umum diputuskan Pusat.
Mengikut penggal sekarang pilihan raya umum ke-14 mesti diadakan
menjelang Ogos 2018.
DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi dengan DAP menguasai 19
daripadanya, manakala 10 lagi dimiliki PKR dan PAS satu. Selebihnya
adalah milik BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan