Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) tidak mampu meraih undi dalam
Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam,
sekiranya parti itu bergerak sendirian.
Menurut penganalisis politik, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian,
undi yang diperolehi parti baru itu dalam dua PRK berkenaan hanyalah
berdasarkan jentera yang digerakkan rakan sekutunya dalam Pakatan
Harapan (PH), terutamanya DAP.
"Jawapannya ketara, jika mereka berdiri dengan sendiri tak mungkin
dapat lihat prestasi yang diberikan dalam dua PRK ini sebab saya percaya
apa yang berlaku adalah penggantungan terhadap rakan sekutu di dalam PH
yang memungkinkan kemenangan mereka.
"Saya percaya salah satu faktor menyumbang kemenangan PAN adalah gerak
kerja dilakukan DAP. Bagi DAP, khusus di Selangor kemenangan itu penting
bukan untuk kalahkan BN tapi memastikan prestasi mereka lebih baik dari
PAS," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Sivamurugan mengulas prestasi PAN dalam dua PRK semalam yang
menyaksikan parti itu, termasuk PAS tewas kepada Umno-Barisan Nasional
(BN).
Calon PAN di Sungai Besar, Azhar Abdul Shukor memperolehi 7,609 undi,
manakala Prof Dr Ahmad Termizi Ramli yang menjadi taruhan PAN di Kuala
Kangsar sekadar mendapat 4,883 undi.
Sivamurugan juga dalam pada itu berpendapat masih banyak gerak kerja
yang perlu dilakukan PAN dalam meraih sokongan rakyat, termasuklah
menjadi pengganti PAS dalam gabungan kerjasama pembangkang.
Ujarnya, sehingga kini PAN masih gagal untuk menepis bayangan imej parti lamanya.
Malah pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial Politik dari Universiti
Sains Malaysia juga berkata, undi terhadap PAN menerusi PRK semalam
bukanlah kerana sokongan terhadap parti itu semata-mata.
"Jika dilihat konteks keputusan PRK semalam, persaingan itu masih terhad.
"Saya percaya lebihan undi datang daripada penyokong-penyokong tegar PH
dan tidak semestinya daripada PAS yang melakukan protes ke atas PAS.
"Apa yang dilihat mungkin sokongan yang diberikan kepada PH, tidak
semestinya PAN. Maka PAN kena cari tapak sendiri supaya dapat dilihat
parti alternatif yang lebih berwibawa kepada PAS," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan