shahbudindotcom
Keputusan
dua pilihanraya kecil semalam barangkali paling membingungkan untuk
difikirkan. Bukan saja Pas dan Amanah tidak percaya dengan majoriti
kekalahan sebanyak 9,191 di Sungai Besar dan 6,969 di Kuala Kangsar,
malah UMNO dan BN sendiri tidak menduga sebesar itu kemenangan mereka.
Ia
tidak saja bersandarkan majoriti pilihanraya 2013 lalu hanya 399 dan
1,082 iaitu masing-masing di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tetapi juga
melihatkan bagaimana sambutan hangat rakyat terhadap program-program
anjuran Pakatan Harapan sepanjang masa berkempen diadakan.
Lebih-lebih
lagi dengan kehadiran Tun Mahathir Mohamad yang turun berkempen dan
turut mendapat sambutan cukup baik penduduk tempatan, tiada sesiapa
menduga kemenangan sebesar itu mampu diraih BN.
Apakah dengan keputusan ini menunjukkan Najib Razak semakin kuat dan Tun Mahathir makin hilang pengaruhnya?
Apakah ini menunjukkan harapan lebih baik untuk BN terus berkuasa dalam pilihanraya umum akan datang?
Di
Sungai Besar, BN memperolehi 16,800 undi manakala Pas 7,609 dan Amanah
6,902 undi. Jika dicampurkan undi Pas dengan Amanah ia menjadi 14,511.
Masih kalah kepada BN.
Tetapi dalam pilihanraya 2013 lalu, BN memperolehi 18,695 undi manakala Pas 18,296.
Bermakna
undi yang diterima BN dalam pilihanraya kecil ini berkurangan sebanyak
1,896 dan undi blok pembangkang (Pas + Amanah) juga berkurangan sebanyak
3,785 undi.
Di
Kuala Kangsar, BN memperolehi 12,653 undi, manakala Pas 5,684, Amanah
4,883 dan Bebas 54. Jika dicampurkan undi menentang BN ialah sebanyak
10,621. Juga masih kalah kepada BN.
Dalam pilihanraya 2013, BN di Kuala Kangsar memperolehi 14,218, Pas 13,136 dan Kamilia Ibrahim dari Bebas 447 undi.
Bererti undi BN berkurangan sebanyak 1,565 undi manakala undi blok pembangkang menurun sebanyak 2,962 undi.
Kesimpulan
mudahnya, walaupun menang dengan majoriti lebih besar, undi BN tidak
bertambah. Jumlah undi untuk pembangkang pula tentu saja jauh menurun
kerana mereka kini sudah berpecah.
Di
sebalik keputusan itu ialah pengundi Melayu tradisional terlihat masih
memberi sokongan kepada UMNO dan BN. Walaupun ada isu 1MDB, wang RM2,600
juta, pembaziran Rosmah, GST dan sebagainya, pengundi tradisional dapat
dilekakan dengan BR1M, wang saku, kain batik, kain pelikat dan
meriahnya jamuan serta makan minum sepanjang malam kempen diadakan.
Lagi
pula tidak ramai pengundi yang benar-benar faham mengenai putar belit
1MDB dan wang derma RM2,600 juta itu. Mereka lebih faham wang sebanyak
RM100 atau RM200 yang masuk ke dalam saku sendiri.
Undi
mereka kepada BN juga disebabkan perpecahan dalam blok pembangkang
sehingga berlakunya pertandingan tiga penjuru. Kekeliruan mengenai
perpecahan itu, atau sebagai isyarat bosan kerana berbalah sesama
sendiri, pengundi akhirnya mencampakkan undi kepada BN.
Pengundi Cina juga mula menunjukkan sokongan kembali kepada BN. Namun, trend ini hanya bersifat sementara.
Tidak
mustahil pengundi Cina menunjukkan sokongan kepada BN kerana
pilihanraya ini hanya untuk memilih Ahli Parlimen dan bukannya menukar
kerajaan. Lagi pun janji dan tawaran pembangunan yang diberikan oleh BN
kepada mereka dalam dua pilihanraya ini cukup lumayan untuk mereka tolak
sehingga pilihanraya umum akan datang.
Dengan menunjukkan seolah-olah mula kembali menyokong BN, pengundi Cina akan terus dilumayankan lagi sehingga 2018 nanti.
Secara
umumnya, kedudukan UMNO dan BN masih belum selamat lagi dalam
pilihanraya umum akan datang. Kembalinya sokongan pengundi, baik Melayu
atau bukan Melayu kepada BN hanyalah bersifat sementara.
Jika
blok pembangkang benar-benar bersatu dan pertandingan satu lawan satu
menentang BN dapat direalisasikan semula, kecondongan pengundi Melayu
lebih cenderung untuk sama-sama menjayakan perubahan. Realitinya undi
menolak BN tetap besar dan bukannya ranap sama sekali.
Begitu
juga jika gambaran menukar kerajaan benar-benar hampir terbayang
sebagaimana pilihanraya 2013 lalu, sentimen pengundi Cina akan kembali
menjauhi BN. Tidak mungkin pengundi Cina gembira dengan Najib yang
paling banyak onarnya itu dan "senyum" mereka hanyalah sementara.
Hakikatnya,
Najib tidaklah semakin kuat dan Tun Mahathir juga tidaklah makin tak
laku dengan keputusan pilihanraya kecil ini, tetapi banyak kerja dan
usaha lagi harus dilakukan untuk menyelamatkan negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan