Selasa, 21 Jun 2016

Musa Hitam: Jika saya PM, pilihan raya tahun depan

MALAYSIAKINI


Berikutan kemenangan besar BN pada dua pilihan raya kecil baru-baru ini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata beliau akan mengadakan pilihan raya umum tahun depan sekiranya menjadi perdana menteri.

"Pilihan raya kecil berkembar ini diadakan di tengah-tengah serangan besar (pembangkang) ke atas kerajaan BN dan pemimpinnya. Ini tidak pernah dihadapi oleh BN (dalam pilihan raya sebelumnya). Selain itu, Umno dan BN tidak stabil secara dalaman.

"(Tetapi) Umno masih menang dengan majoriti undi yang tidak dijangka," katanya dipetik sebagai berkata oleh Sin Chew Daily hari ini.

BN memenangi Sungai Besar dengan majoriti 9191 undi dan di Kuala Kangsar dengan majoriti 6969 undi.
Musa berkata BN perlu memanfaatkan momentum yang dihasilkan oleh pilihan raya kecil itu dan mengadakan pilihan raya umum tahun depan selepas mendapat sokongan besar.

Beliau juga menyatakan pembangkang kurang bersatu dan kehilangan arah berbanding pilihan raya umum 2013, apabila tiga parti bersatu di bawah Pakatan Rakyat.

Dalam keadaan itu, beliau berkata pembangkang hanya boleh bergantung kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendekati rakyat kerana pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam penjara.

Hasilnya, beliau berkata, strategi ini tidak dapat berfungsi dengan berkesan.

Beliau berkata mesej yang dihantar oleh Mahathir semasa berkempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah terlalu besar untuk diserap pengundi.

"Jika anda tanya kepada saya, saya akan menggesa mereka yang sudah tua tidak terus melibatkan diri dalam politik. Saya juga berasa sedih apabila kita tidak mempunyai pilihan lain selain Najib," katanya.


Tiada ulasan: