Selasa, 21 Jun 2016

PH harus hormati hak PAS sebagai pembangkang

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] Pakatan Harapan (PH) mungkin pura-pura lupa bahawa status PAS masih tetap sebuah parti pembangkang yang menentang Umno-BN sebagai parti pemerintah yang dianggapnya tidak pro-kepentingan rakyat.
 
Lantas sebagai sebuah parti politik pembangkang yang berpegang pada ideologi politik Islam dan gaya serta budayanya sendiri – ‘politik matang dan sejahtera’ -- PAS berhak meletakkan calon di mana-mana kerusi pilihanraya sekalipun.
 
PAS juga bebas menentukan parti mana yang ia harus santuni dalam menentukan halatuju perjuangannya dan boleh memilih sama ada mahu bekerjasama dengan PPH atau tidak.
 
Masalahnya, kegagalan atau kesengajaan PH tidak menghormati status PAS kini dijadikan alasan menuding jari kepada PAS sebagai punca kegagalan wakil PH (dari PAN) dalam dua pilihanraya kecil (PRK) parlimen Sabtu lalu.   
 
PKR pula menganggap pembangkang kalah dalam pilihanraya kecil (PRK) Sungai Besar terutamanya, berpunca daripada ‘kedegilan’ PAS.
 
Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin berkata, sikap PAS itu  menyebabkan PKR kehilangan peluang menawan kerusi Parlimen Sungai Besar. 
 
Sementara PAN pula menyalahkan PAS yang dikatakan enggan mengadakan perbincangan dengan PH bagi menetapkan parti mana yang harus bertanding di kedua-dua PRK berkenaan.
 
"Sehingga lambat kita buat keputusan siapa yang akan mewakili PH kerana nak bagi ruang perundingan dengan PAS. 
 
Kalau boleh bincang supaya elak pertandingan 3 penjuru tapi mereka tetap dengan sikap mereka yang degil itu. 
 
"Itulah terjadi akhirnya PH jadi lambat semuanya kerana masih bagi ruang kepada PAS mahu melihat situasi sebenar politik negara," dakwa Setiausaha Agung PAN, Anuar Tahir.
 
Zuraida berkata, hasil keputusan pilihanraya kecil berkenaan mungkin tidak akan sama seandainya PAS memberi laluan kepada PKR untuk meneruskan perjuangan pembangkang di Sungai Besar.
 
“Saya terkilan kerana PKR cuba berunding dengan PAS untuk diberi laluan bagi bertanding. PKR telah cuba berunding sehingga saat-saat akhir.
 
“Malangnya PAS tidak beri laluan dan teruskan bertanding. Jadi inilah keputusan yang kita lihat,” kata Zuraidah yang juga Ketua Wanita PKR.
 
PAN kalah walau jentera PKR dan DAP dikerah 
 
Kenyataan Zuraidah dan Anuar ini dilihat muslihat untuk memberi alasan mengapa walau segala kekuatan jentera pilihanraya PAN, PKR dan DAP dikerah ia masih gagal memenangkan calon PAN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. 
 
Sumbangan DAP untuk memenangkan calon PAN itu bukan kepalang. Kempen DAP-PAN seolah-olah ‘dipimpin’ oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berikhtiar meyakinkan seberapa ramai pengundi Cina menyokong calon PAN.
 
Sementara PKR pula, menarik semula perintah ‘iddah’ yang melarang Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali supaya ‘jangan mencampuri’ kempen PRK berkenaan demi membuktikan bahawa PKR sebulat suara menyokong PAN.
 
Azmin muncul di saat-saat terakhir kempen kerana ‘sibuk’ mengiringi Sultan Selangor bertemu rakyat sempena Ramadan al mubarak. Walhal sebelum itu beliau ditegah PKR menyertai upacara penamaan calon 4 Jun lalu. 
 
Bagaimanapun DAP bungkam dan kelu membuat sebarang komen mengenai kegagalannya meyakinkan pengundi Cina menokok undi calon PAN. 
 
Namun seperti sudah agak sebati di kalangan pemimpin-pemimpin PAN, mereka cuba mencari kekuatan dengan memperkecilkan parti leluhur mereka, PAS.
 
"Kekalahan (adalah) mesej kepada PAS supaya merancang kembali strategi dan ambil iktibar dengan melakukan langkah-langkah yang perlu seperti kembali ke meja rundingan bersama Pakatan Harapan,” kata Pengerusi PAN Selangor, Ir Izham Hashim.
 
Beliau menafsirkan kekalahan PAS kerana dilihat PAS tidak mendapat sokongan pengundi bukan Melayu walhal umum tahu bahawa calon PAN mendapat undi lebih berbanding calon PAS di Sungai Besar kerana bantuan mutlak DAP. 
 
PAS terus diserang, ditekan
 
Lebih menyedihkan lagi ialah ada pemimpin PAN yang masih berada dalam kotak pemikiran bersalut ego dan dendam terhadap PAS. Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad, misalnya, bersikap demikian.
 
Beliau menyimpulkan bahawa pendekatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbaik-baik dengan Umno bagi mendapatkan undi parti itu nyata gagal.
 
Beliau berkata, strategi itu memberi kelebihan kepada BN dalam PRK berkenaan kerana undi Melayu yang diharapkan daripada Umno tidak berpihak kepada PAS.
 
Dakwanya, kempen PAS pada PRK berkenaan yang menyerang PAN dan DAP ‘berhasil melindungi kesilapan Umno’ seolah-olah parti itu bukan punca masalah yang dihadapi negara.
 
“Oleh kerana masyarakat diberi gambaran Umno itu baik dan DAP itu punca kepada krisis, maka pengundi tidak berganjak dan tetap beri undi kepada Umno,” katanya.‎
 
Pandangan politik herot PAN ini ditebalkan lagi oleh Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir,  yang mahu PAS memuktamadkan sama ada mahu bekerjasama dengan PH atau terus menjadi 'agen' membantu Umno-BN.
 
Hujahnya, PAS perlu mencari rakan kerjasama dan bukannya bertindak sebagai pemecah undi di kalangan parti pembangkang.
 
"PAS harus meninjau (mengkaji) kembali mereka sudah kehilangan separuh undi yang mereka dapat (dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar), apakah mereka mahu terus bersendirian?
 
"(Atau), (PAS) hanya untuk memecah undi dan bantu kemenangan Umno BN sahaja dan dapat ruang untuk kerjasama dengan kerajaan jadi penasihat, menduduki badan-badan agensi pemerintah, di badan dakwah sahaja,”katanya.
 
Setelah memberi “kata dua” pada PAS, Anuar dilihat cuba bermain politik bila pada masa yang sama cuba melakar imej bahawa PAN sentiasa bersikap terbuka terhadap PAS.
 
"Kita tidak pernah tutup pintu kepada mana-mana (parti) cuma kita pegang ketiga-tiga parti yang ada dalam PH (DAP,PKR dan PAN) harus bersama-sama mengambil keputusan kalau PAS mahu menyertai kita akan bincang. 
 
"Kalau sekiranya mereka jujur untuk itu, saya rasa tidak ada sebab untuk tidak menerima mereka. Dari dulu kita bagi ruang sampai jadi lambat pemilihan (untuk bertanding PRK)," ujar Anuar lagi.
 
Bagaimanapun mungkin dipacu oleh pendekatan ‘budaya politik matang dan sejahtera’, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberi reaksi yang agak berpada-pada. 
 
"Saya tengok ada keperluan (kerjasama). Tidak semestinya gabungan. Saya rasa ada mekanisme lain yang perlu dicari. Saya sebut dulu bahawa di antara mekanisme yang boleh PAS terima ialah sepakat untuk ‘satu lawan satu’. 
 
"PAS tegaskan setuju ‘satu lawan satu’ di kedua PRK ini. Tapi bukan prinsip kita terpaksa korbankan kerusi PAS. Itu tidak betul dari segi sepakat. Kita kena hormati hak kerusi yang sedia ada dan parti lain tidak perlu sertai sama. Itu sepatutnya dihormati.
 
"Kalau prinsip itu tidak dihormati maknanya kita bergabung tapi kita terpaksa korbankan kita punya kerusi, saya fikir tidak betul dari segi kaedah kerjasama," katanya.
 
Paling penting prinsip menghormati PAS sebagai sebuah parti politik Pembangkang haruslah dihormati terlebih dahulu. Bukan hak PH untuk 'mengarah' apa yang patut dan tidak boleh dilakukan oleh PAS.
 
 

Tiada ulasan: