Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Laporan berita bertajuk 'Wan Azizah mencabar Tun M
bertanding dalam PRU' tidak benar dan diputarbelit media, dakwa Pengarah
Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak
mencabar Tun Mahathir seperti yang dilaporkan tetapi hanya membetulkan
kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh
Keruak berkenaan jawatan ketua pembangkang.
Salleh dalam laman blognya berkata Tun Mahathir perlu mengambil
kedudukan dalam kepemimpinan pembangkang kerana beliau sudah
melaksanakan peranan itu secara ‘de facto’.
"DS Dr Wan Azizah tidak membuat sebarang cabaran kepada Tun Dr Mahathir
untuk bertanding dalam pilihanraya, tetapi beliau hanya membetulkan
kenyataan DSP Salleh bahawa seorang Ketua Pembangkang Parlimen bukanlah
boleh dilantik sewenang-wenangnya tetapi mestilah dari kalangan
Ahli-Ahli Parlimen yang sedia ada," ujar Fahmi menerusi kenyataan
medianya, petang ini.
Ujar Fahmi tindakan media Berita Harian memutarbelitkan kenyataan
Azizah hanya memalukan Salleh sebagai seorang menteri yang tidak faham
prosedur pelantikan seorang ketua pembangkang.
"Sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, agak memeranjatkan dan
memalukan jika beliau tidak memahami prosedur tersebut, maka saya hanya
boleh menggesa pegawai-pegawai beliau agar menasihati beliau mengenai
perkara teknikal seperti ini sebelum mengeluarkan beliau kenyataan di
masa hadapan.
"Jangan hanya kerana mahu "pukul curi" dan mengadu domba di kalangan
pihak pembangkang hingga fakta dan prosedur tidak dijadikan asas,"
ujarnya lagi.
Berita Harian hari ini melaporkan Azizah sebagai mencabar Tun Mahathir.
Azizah juga dilaporkan berkata beliau layak dilantik menjadi ketua pembangkang selepas memenangi pilihan raya.
“Saya bertanding pilihan raya dan menang kerana dipilih rakyat dan
menjadi ketua pembangkang, jadi kamu nilai sendiri,” katanya dipetik
akhbar berkenaan.
Azizah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanifah di Unit Rawatan
Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan