SHAH ALAM: Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengaku ada cubaan campur
tangan dalam urusan siasatan badan itu terhadap kes-kes tertentu.
Namun Shukri menegaskan dalam sejarah perkhidmatannya dengan SPRM,
beliau tidak akan sesekali membenarkan perkara sebegitu berlaku. Malah
semua kes siasatan yang diselianya akan disiasat sehingga selesai.
"Sudah tentu ada campur tangan... ada campur tangan. Tetapi saya tidak
akan benarkan campur tangan untuk menghentikan siasatan kami.
"Tidak pernah dalam sejarah, sejak saya mengambil alih operasi, kertas
(siasatan) dihentikan ketika tengah-tengah siasatan," katanya dalam
video rasmi yang dimuat naik di Youtube.
Walaupun beliau tidak menjelaskan jenis campur tangan itu, Shukri
memberitahu apa-apa kes dibawah seliaannya tidak pernah dihentikan
separuh jalan.
"Untuk perhatian, dari mula hingga sekarang, tiada siapa yang boleh
campur tangan dalam siasatan kami, tiada siapa yang boleh mengarahkan
SPRM untuk buat ini, buat itu, ... tidak ada. Siasatan adalah kuasa
kita.
"Saya tidak akan membenarkan sesiapa untuk campur tangan, saya tidak
benarkan pegawai saya menghentikan siasatan, sekali disiasat kita mesti
menyelesaikan setiap kertas siasatan," katanya.
Walaupun Shukri mengakui bahawa suruhanjaya itu boleh meneruskan
siasatan tanpa campur tangan atau arahan, namun tidak ada apa yang boleh
beliau lakukan bagi menentukan sesuatu kes berkenaan di bawa ke
mahkamah.
"Saya tidak pernah mempersoalkan keputusan sama ada untuk mendakwa ataupun tidak mendakwa.
"Ini bukan kuasa saya, kamu perlu faham bahawa terdapat pembahagian
kuasa antara penyiasatan dan pendakwaan," katanya dalam video itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan