Isnin, 20 Jun 2016

'Jangan dabik dada, pembangkang menang hampir separuh undi'

Kemenangan BN pada pilihan raya kecil berkembar, Sabtu lalu tidak bermakna rakyat menolak Tun Dr Mahathir Mohamad, kata seorang penyokong setia bekas perdana menteri itu.

Sebaliknya, menurut bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan majoriti BN tidak sebesar mana sekiranya semua undi pembangkang diambil kira.

“Najib, jangan mendabik dada!

“Najib cukup bangang untuk kata rakyat tolak Dr Mahathir,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada pilihan raya parlimen Kuala Kangsar, calon BN Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh 12,653 undi untuk mengekalkan kerusi arwah suaminya dengan majoriti undi 6,969.

Sementara di Sungai besar, calon BN Budiman Mohd Zohdi mendapat 16,800 undi untuk mencatatkan rekod tertinggi majoritinya sebanyak 9,191 undi.

Walau bagaimanapun, sekiranya undi yang diperolehi oleh AMANAH dan PAS digabungkan, majoriti BN berkurangan menjadi 2,289 di Sungai Besar dan 2086 di Kuala Kangsar.

Najib dalam ucapan kemenangannya semalam, berkata keputusan pilihan raya kecil itu menunjukkan bahawa orang ramai menolak Mahathir, yang telah berkempen untuk Pakatan Harapan dan menenatng BN.

Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz juga berkata, keputusan berkenaan menunjukkan Mahathir kini secara rasmi kini sudah tercabut.

Mengulas kenyataan itu, Khairuddin berkata Nik Abduh perlu mencermin dirinya dan merenung prestasi lemah PAS berbanding parti serpihannya, AMANAH.

“PAS kata mereka kuat tapi akhirnya tewas di kedua-dua kawasan parlimen tersebut. Suruh Nik Abduh cermin muka dia terlebih dahulu.

“Jangan perlekeh orang lain tapi Nik Abduh harus perlekeh dirinya dan parti PAS terlebih dahulu!” katanya.

Pada pilihan raya Sabtu lalu, AMANAH mengatasi PAS dengan 707 undi di Sungai Besar, tetapi ketinggalan 801 undi di Kuala Kangsar.


Tiada ulasan: