Selasa, 7 Jun 2016

CEO baru TH akan diketahui Julai nanti

MALAYSIAKINI


Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya pada Julai ini bagi menggantikan Tan Sri Ismee Ismail yang juga Pengarah Urusan Kumpulan itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihak TH sudah mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah dan mempunyai calon sesuai bagi menyandang jawatan berkenaan.

"Buat masa Datuk Johan Abdullah memangku tugasan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan selepas Ismee pulang daripada cuti, kita akan mengumumkan nama penggantinya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan dua buah kereta Proton Exora kepada Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2016.

Laporan media pada 28 April lepas, memetik kenyataan TH yang menamakan Johan sebagai pemangku jawatan CEO itu mulai 16 Mei, 2016.

Johan menyertai TH pada 15 Januari, 2015 sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan sebelum itu merupakan Pengarah Urusan Kumpulan/CEO BIMB Holdings Bhd sejak Mei 2008.

Ismee berpengalaman luas di sektor swasta dengan memegang jawatan penting sebelum ini termasuk Ketua Akauntan Pengurusan Danaharta Nasional Berhad dan Pengurus Besar Kanan Kewangan di TH bermula Disember 2001 hingga November 2003 sebelum menyertai sebuah syarikat broker saham.

Beliau menyertai semula TH sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO serentak dengan pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada 1 Januari, 2006.- Bernama


Tiada ulasan: