SUARA KEADILAN
KUALA LUMPUR : KEADILAN menggesa agar mereka yang terlibat dalam pembunuhan kejam anggota parti itu, Bill Kayong segera dikesan, ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.
Dalam kenyataan bersama, Ketua Umum dan Presiden, saudara Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang.
“Bagi pihak keluarga besar KEADILAN, kami
merakamkan ucapan takziah buat keluarga saudara Bill Kayong. Semoga keluarga mendiang terus sabar dalam menghadapi ujian dan dugaan yang amat mencabar ini,” kata Anwar dan Wan Azizah.
Mendiang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teoh dan mantan calon KEADILAN bagi kerusi N71 Bekenu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 lalu.
Mengikut laporan awal, beliau mati ditembak di lampu trafik berhampiran Emart One-Stop Shopping Mall di Senadin, Miri, di dalam kenderaan pacuan empat roda yang tertera lambang KEADILAN.
Pada ketika ini, motif jenayah pembunuhan belum lagi dikenalpasti.
“KEADILAN menggesa semua pihak untuk bersabar dan menunggu kenyataan penuh dari pihak Polis Di-Raja Malaysia,” kata kedua-dua pemimpin itu lagi.
Bill seorang aktivis dan anggota KEADILAN yang komited kepada agenda Reformasi. Beliau sering mengangkat isu-isu yang dekat di hati rakyat Sarawak, termasuk isu hak tanah adat yang kerap beliau bangkitkan sewaktu PRN lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan