Selasa, 9 Februari 2016

TIBA2 SAJA PAC DAH NAK BUAT RUMUSAN, BOLEHKAH HASILNYA DIPERCAYAI?

shahbudindotcom


 
 
 
Dua hari lalu Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau PAC, Hassan Ariffin secara tiba-tiba memberitahu, dua saksi terakhir akan dipanggil minggu depan untuk memberi keterangan berhubung siasatan pihaknya mengenai 1MDB.

Katanya, dua saksi terakhir itu ialah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrul Azral Ibrahim Halmi serta bekas Pengerusinya, Mohd Bakke Salleh.

Ini merupakan dua individu terakhir yang akan kita panggil sebelum Ketua Audit Negara membentangkan laporannya dan selepas itu kita akan membuat rumusan untuk dibentangkan di Parlimen, kata Hassan yang juga Ahli Parlimen Rompin.

Dengan pengumuman itu bermakna, laporan PAC berhubung pelbagai isu yang dicurigai dan diperkatakan ramai berkaitan 1MDB akan disiapkan dan diketahui tidak berapa lama lagi.

Pengumuman Hassan itu segera membuatkan salah seorang anggota PAC, Tony Pua "terkejut beruk" kerana  mendakwa ia tidak pernah dibincangkan sebelum ini. 

Menurut beliau, memang persetujuan memanggil dua individu itu telah ditetapkan dalam mesyuarat sebelum ini, tetapi tidak pernah dipersetujui bahawa tiada lagi saksi-saksi lain akan dipanggil.

Katanya, terdapat beberapa saksi yang amat relevan untuk dipanggil memberi keterangan, antaranya Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz serta seorang lagi bekas CEO 1MDB iaitu Mohd Hazeem Abdul Rahman.

Selain itu, tambah Pua, ketika PAC dipengerusikan oleh Nur Jazlan juga turut secara rasmi telah meminta persetujuan Kementerian Kewangan untuk memastikan kehadiran Najib Razak dan Jho Low memberi keterangan kepada jawatankuasa itu.

Tidak saja Nur Jazlan yang mengumumkan keperluan Jho Low dipanggil memberi keterangannya, bahkan Khairy Jamaluddin juga menilai keperluan yang sama agar penyelesaian menyeluruh dapat dicapai berhubung kemelut 1MDB yang diperbualkan ramai itu.

Sehubungan itu, bagaimanakah agaknya rupa bentuk laporan dan rumusan PAC berhubung 1MDB nanti setelah saksi-saksi yang dianggap penting itu tidak dipanggil memberi keterangannya?

Kenapa Hassan begitu pantas mahu siasatan berhubung 1MDB ditamatkan?

Apatah lagi, jika diimbas kedudukan Hassan mengetuai PAC turut lebih kurang sama dan tidak banyak berbeza dengan Apandi Ali yang kini menjadi Peguam Negara.

Apandi dijadikan Peguam Negara secara mengejut menggantikan Abdul Gani Patail yang dikatakan tidak sihat untuk tugas itu, manakala Hassan pula dipilih sebagai Pengerusi  setelah PAC "dikelabu-asapkan" dengan Nur Jazlan dan beberapa ahli jawatankuasanya dinaikkan pangkat menganggotai pentadbiran kerajaan.

Kedua-duanya, Apandi dan Hassan mendapat "rezeki dan jawatan" di tengah-tengah siasatan terhadap 1MDB oleh sebuah pasukan petugas khas sedang rancak dijalankan.

Peguam Negara akhirnya menolak sebarang pendakwaan dalam kertas siasatan yang dilakukan oleh Bank Negara berkaitan 1MDB dan juga siasatan oleh SPRM terhadap Najib berhubung wang ribuan juta yang masuk ke akuan peribadinya.

Lantas, bolehkah diharapkan keputusan yang berbeza daripada PAC nanti?
 
 
 

Tiada ulasan: