Ahad, 14 Februari 2016

Majlis Raja-Raja harapan terakhir rakyat‎

SINAR HARIAN


Husam
Husam


SHAH ALAM – Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja merupakan harapan terakhir rakyat bagi membolehkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diadili secara telus.

Menurutnya, harapan rakyat bagi melihat isu berkenaan diadili dengan sebaiknya mungkin akan dapat direalisasikan sekiranya Persidangan Majlis Raja-Raja akan datang memangil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) bagi menyembahkan maklumat mengenai kertas siasatan terakhir berkaitan dengan 1MDB.

“Majlis Raja-Raja dicadangkan untuk membentuk satu panel bagi menyembahkan pandangan dan nasihat samada terdapat prima facie atau tidak berdasarkan kertas laporan siasatan itu

“Bagi isu 1MDB ini, semua institusi seperti  Parlimen, SPRM, Audit Negara, Bank Negara dan Peguam Negara  nampaknya telah ditewaskan atau dijinakkan. Malah kertas SPRM terakhir dibakul sampahkan saja,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Husam menambah, sekiranya cadangan berkenaan dapat diralisasikan, ia akan menunjukkan Majlis Raja-Raja merupakan titik terakhir rakyat bagi menaruh harapan untuk mewujudkan mekanisma meluruskan semula perjalanan negara tercinta ini.

Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengumumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengembalikan semula sebahagian besar wang RM2.6 bilion yang diterimanya kepada keluarga diraja Arab Saudi serta mengarahkan SPRM menutup kes.

Selain itu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga bercadang untuk membentangkan laporan akhir pengauditan terhadap 1MDB di Parlimen dalam sesi Dewan Rakyat bermula Mac hingga April ini.



Tiada ulasan: