KUALA LUMPUR,  Datuk Seri Mukhriz Mahathir melakukan satu langkah yang mulia dengan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata Mukhriz langkah tersebut dianggap betul dari segi amalan dan mengambil tanggungjawab terhadap kemelut politik yang berlaku di negeri itu.

“Jawatan ini dibuat berdasarkan lantikan oleh kepimpinan parti dan juga berdasarkan kepada sokongan mereka.

“Kepimpinan Umno juga mengambil kira keberkesanan pemimpin yang berkenaan dan telah mendapat maklum balas yang diperlukan, jadi proses (untuk singkir Mukhriz) ditentukan oleh perlembagaan parti,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post hari ini.

Krisis politik Kedah yang berakhir pagi tadi terjawab apabila Mukhriz mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar berkuat kuasa serta merta.

Mukhriz berkata keputusan itu dibuat selepas beliau kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-12 Kedah esok selepas Jemaah Pemangku Sultan Kedah memperkenankan pelantikannya.

Annuar berkata Mukhriz juga telah membuat pengorbanan demi kebaikan parti itu di negeri ini.

“Mungkin apa yang Mukhriz hadapi adalah ujian yang ditentukan oleh Qada dan Qadar, dan langkah itu dibuat selepas mengambil kira banyak faktor,” kata Annuar, sambil menambah Mukhriz menunjukkan keberanian dalam menghadapi pengalaman pahit itu.