SHAH ALAM: Kerajaan perlu mengkaji tangga gaji bagi menarik minat
rakyat tempatan bekerja di sektor yang dikategorikan sebagai bahaya,
kotor dan sukar (3D), kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman.
Katanya, perkara itu perlu bagi melihat kos yang ditanggung rakyat
tempatan seperti sewa rumah, makan dan minum serta lain-lain keperluan.
Selain itu, penglibatan dalam sektor 3D ini perlu mempunyai
perlindungan insuran yang berbaloi dengan risiko yang perlu ditanggung.
"Kita kena lihat juga dari segi jaminan masa depan sebab kadang-kadang
kita dapati bahawa bila kerja itu risikonya tinggi seperti risiko dengan
penyakit, mudah mendapat kemalangan dan sebagainya.
"Jadi pelindungan insuran atau faedah perubatan itu kadang-kadang tidak
berbaloi menyebabkan orang fikir untuk menolak pekerjaan tersebut.
"Semua ini perlu dilihat baru akan menarik minat dan mereka akan fikir
berapa banyak duit yang boleh dibawa pulang dan adakah ia berbaloi
dengan risiko yang ditanggung,"katanya ketika dihubungi Antarapos.
Dalam pada itu, Ma'amor juga melihat kadar pengangguran dalam kalangan
pelajar lepasan universiti semakin meningkat setiap tahun kerana peluang
pekerjaan yang ditawarkan adalah rendah dan terhad.
"Penghasilan tenaga kerja tidak selari dengan permintaan pasaran
misalnya kita galakkan anak-anak muda masuk universiti dan sebagainya
tetapi daripada segi pekerja kemahiran yang tidak perlu masuk ke
universiti ini tidak ada sebab kita telah memberikan satu persepsi
bahawa jika masuk berpelajaran tinggi kerja mesti ada.
"Jadi bagi mereka bila sudah belajar tinggi mempunyai komitmen membayar
hutang belajar adakah berbaloi sebagai contoh bekerja sebagai pengutip
sampah mampu menanggung kos sara hidup mereka, sudah tentu mereka tidak
mahu,"ujarnya.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan kerajaan yang ingin membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
mencabar agar golongan belia menyertai sektor pekerjaan 3D bagi
mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
Cabaran itu diutarakan Zahid sebagai menjelaskan mengapa kerajaan perlu
membawa masuk 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh ke negara ini yang
mana disebabkan sikap memilih pekerjaan dikalangan belia itu sendiri.
Zahid berkata langkah itu perlu kerana tenaga kerja asing kini
menguasai sektor membabitkan industri peladangan, perkilangan, pembinaan
dan pembersihan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan