KUALA LUMPUR: Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mempertahankan penggantinya,
mengatakan Bank Negara melaksanakan proses ketat untuk memilih calon
paling layak.
Gabenor Bank Negara itu berkata, pengganti sesuai penting ketika
Malaysia berdepan dengan keadaan ekonomi yang lembap pada hari ini.
"Kita melaksanakan proses dan memastikan gabenor baru mempunyai latar
belakang dan kemampuan relevan terutamanya dalam keadaan seperti hari
ini supaya peralihan dapat diuruskan dengan baik.
"Dan saya percaya bank pusat sudah menjadi organisasi kukuh dengan
kekuatan institusi dan patuh kepada undang-undang ... yang memberikan
kita kuasa luas dan kebebasan.
"Dan dengan itu, terdapat akauntabiliti," kata Zeti di Kuala Lumpur hari ini.
Walaupun tidak mendedahkan siapa penggantinya, Zeti berkata gabenor
baru seharusnya bebas daripada sebarang agenda politik, demi kestabilan
kewangan dan ekonomi.
"Saya menikmati kebebasan walaupun sebelum (enakmen Akta Perkhidmatan Kewangan 2013).
"Semasa saya menjadi gabenor, kita (Bank Negara) sudah berkhidmat
dengan 5 menteri kewangan dan 3 perdana menteri – dan bank pusat
sentiasa dilayan dengan baik. Dan saya harap ini akan berterusan,"
katanya.
Zeti bakal bersara pada April dan spekulasi mengatakan calon penggantinya akan dipilih dari dalam Bank Negara.
Selain timbalan kepada Zeti, antara yang disebut bakal menggantikannya
termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar
Abdullah dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek
Hussin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan