shahbudindotcom
Apabila
Tun Mahathir Mohamad mengatakan beliau tidak akan putus asa daripada
berusaha mengundurkan Najib Razak, ia seharusnya merupakan berita
gembira buat kita semua.
Ini
kerana ia menunjukkan masih ada harapan untuk menyelamatkan negara ini
dan memulihkan kepercayaannya di peringkat antarabangsa yang kita semua
sedari telah terjejas teruk sejak timbulnya isu 1MDB dan derma ribuan
juta yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri.
Yang
kita paling bimbang ialah jika Tun Mahathir tiba-tiba berhenti daripada
mahu menyingkirkan Najib, malah lebih mendukacitakan jika ada
khabar-khabar beliau pun terkulai sama dengan "umpan dedak" yang kini
banyak ditaburkan di merata-rata sasaran.
Tetapi
dengan bekas Perdana Menteri itu mengatakan, "akan terus bangun, cuba
dan cuba lagi", sekurang-kurangnya perjuangan menyelamatkan negara ini
masih lagi ada sinarnya.
Harus
disedari bahawa sejak merdeka pada tahun 1957, inilah kali pertama
negara dibelenggu dengan imej paling buruk yang berpunca daripada
skandal peribadi melibatkan seorang pemimpin yang kemudian diletakkan
seluruh negara untuk menanggung bebannya.
Lantaran
itu, untuk memulihkan kembali imej negara, tiada lain caranya selain
memastikan Najib tidak lagi duduk di kerusi empuk yang didudukinya
sekarang.
Selagi ada Najib, segala-galanya akan bertambah buruk dan terus buruk tanpa kesudahannya.
Penyingkiran
Najib boleh dilakukan sama ada melalui tekanan dalaman sebagaimana yang
sedang diusaha-gigihkan oleh Tun Mahathir sekarang atau jika ia
berlarutan sehingga ke tarikh PRU 14 akan datang, maka tiada pilihan
lain selain memastikan UMNO dan BN ditanggalkan kuasanya daripada
mentadbir negara ini.
Tiada
sesiapa, kecuali pencinta dedak, yang sanggup melihat Najib terus
menjadi Perdana Menteri selepas tahun 2018 nanti kerana ia hanya akan
menjadikan negara terus terperosok dalam ketidaktentuan yang memeritkan
semua orang.
Jika
kita terus gagal menyingkirkan Najib, kita seharusnya malu dengan
negara-negara jiran seperti Filipina, Indonesia dan Thailand yang lebih
dulu ada kesedaran berbuat demikian.
Marcos,
Suharto dan beberapa Perdana Menteri Thailand yang dipenuhi skandal dan
kebejatan sehingga busuknya menerobos ke seluruh dunia, lebih awal
disingkirkan dan ditolak demi satu tujuan iaitu menyelamatkan negara.
Malah beberapa negara di rantau Arab dan Afrika juga sudah pun berbuat demikian sejak beberapa tahun yang lalu.
Apakah
kita bangsa Melayu dan beragama Islam yang sembahyang lima waktu,
puasa, selalu berumrah serta menunaikan haji, masih juga tidak dapat
menilai antara pemimpin yang baik dengan pemimpin yang penuh dengan
masalah?
Apakah
juga, melalui sembahyang, puasa, umrah dan haji, kita masih tiada
kesedaran dan kekuatan dalam mentafsir betapa hitamnya imej dan masa
depan negara disebabkan pemimpin yang dipenuhi skandal peribadi itu?
Apa sebenarnya masalah sebahagian kita sehingga pemimpin penuh masalah peribadi seperti Najib masih mahu dikekalkan lagi?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan