Oleh Fatih Hassan Nordin
JOHOR: Penolong Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali menyifatkan penubuhan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) untuk memantau aktiviti pengguna laman sosial di negara ini sebagai manifestasi ketakutan kerajaan UMNO BN terhadap kemarahan rakyat.
Malah, beliau berkata, tindakan memantau serta menyekat hak kebebasan melontar pandangan melalui pelbagai medium terutama media sosial bakal membangkitkan lagi kejelikan rakyat dan tidak mustahil pemberontakan besar-besaran tercetus jika ia terus berlaku.
“Jika Kerajaan menambah sekatan, ia akan lebih membuak-buakkan kemarahan rakyat. Seterusnya menjadi pemangkin kepada kebangkitan rakyat yang mungkin di luar jangkaan fikiran kita,” katanya kepada Roketkini.
Beliau berkata demikian mengulas amaran PCIRC terhadap aktivis, Fahmi Reza berikutan penghasilan serta penyebaran poster Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ‘bermuka badut’ dengan ungkapan “dalam negara yang penuh dengan korupsi, kita semua penghasut”.
Mempertahankan tindakan Fahmi melontarkan ketidakpuashatiannya, Sheikh Omar berkata, Najib harus mengambil iktibar daripada mesej yang ingin disampaikan melalui poster berkenaan dan bukannya mengarahkan agensi kerajaan melakukan gertakan.
“Mesej yang dibawa menerusi poster ‘Najib badut’ hanyalah mahukan supaya pemimpin dan sistem urus tadbir negara yang korup dihentikan segera.
“Sebab itu mesej yang ditulis atas poster protes itu antaranya ialah “dalam negara yang penuh dengan korupsi, kita semua penghasut. Najib perlu faham mesej sinikal yang disampaikan ini,” katanya
Menyifatkan amaran PCIRC sebagai tidak wajar, beliau berkata, rakyat ada hak untuk melontar kritikan terhadap pemimpin tertinggi melibatkan cara urus tadbir kerajaan kerana badan eksekutif itu dilantik rakyat melalui sistem pilihan raya.
“Rakyat hanya lontar kritikan pemimpin. Bahkan rakyat yang memilih para pemimpin sehingga berada pada kedudukan di mana mereka berada sekarang ini. Oleh itu, pemimpin khususnya Najib mesti dengar kritikan rakyat, bukan mengancam mereka dengan PCIRC.
“Sebenarnya jawapan kepada isu ini mudah sahaja. Najib wajib bersara dari kedudukannya sekarang ini bagi mengelakkan negara semakin ranap. Bukan menjadikan rakyat sebagai sasaran,” katanya. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan