Sabtu, 20 Februari 2016

Air naik mendadak, 38 pelajar terperangkap seberang sungai

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PADAWAN: Seramai 38 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) terperangkap di seberang Sungai Teng Bukap, di sini, sejak malam tadi apabila paras air sungai berkenaan naik mendadak akibat hujan lebat. 
 
Mereka adalah sebahagian daripada 59 pelajar dari Kampus Samarahan universiti berkenaan yang menyertai program 'Leadership Camp' yang diadakan selama tiga hari bermula Khamis lalu. 
 
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata 21 lagi pelajar berada di tempat selamat kerana tidak menyeberangi sungai berkenaan. 
 
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.53 malam tadi dan sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padawan dikejarkan ke tempat kejadian. 
 
"Kami sampai di lokasi pada jam 9.45 malam, namun arus deras serta paras air sungai yang lebarnya kira-kira 20 meter mencapai tahap merbahaya menyukarkan operasi memindahkan kumpulan pelajar itu ke seberang sungai. 
 
"Mereka boleh dihubungi menggunakan walkie talkie dan diarah pergi ke tempat lebih tinggi kerana paras air semakin naik pagi ini," katanya. 
 
Farhan berkata, hujan lebat sejak petang semalam turut menyebabkan sebuah kampung di Padawan dinaiki air pagi ini. 
 
"Hingga jam 6 pagi ini, air naik ke paras 0.5 meter di dalam rumah penduduk di Kampung Simpuk. 
 
"Jalan menuju ke kampung itu juga tidak boleh dilalui kerana dinaiki air setinggi satu meter," katanya.
 
Sementara itu, seorang penduduk kampung berkenaan yang menghubungi BH sebentar tadi memaklumkan paras air semakin meningkat berikutan hujan berterusan sejak malam tadi.
 
"Air sudah memasuki kebanyakan rumah dan kini kira-kira 800 penduduk Kampung Simpuk ini terjejas," katanya. 


Tiada ulasan: