Sabtu, 20 Februari 2016

Kenapa serang Chegubard ? Soal S/U Cabang Kelana Jaya

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisyam Shaharin tidak sepatutnya dikecam berhubung pendedahan kecelaruan pemilihan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor, tegas Setiausaha Cabang PKR Kelana Jaya, Murali Subramaniam.
 
Murali berkata beliau dan beberapa wakil cabang PKR Selangor yang bertanggungjawab membuat pendedahan itu dan bukannya Badrul Hisyam atau lebih dikenali sebagai Chegubard.
 
Jelasnya, Chegubard hanya hadir dalam sidang medianya pada Rabu untuk menyokong pendedahan itu dibuat. 
 
"Sejak sidang media saya dan teman-teman mewakili pelbagai cabang PKR dalam Selangor pada 16 Februari lepas pelbagai pihak telah mengeluarkan kenyataan menyerang Chegubard. 
 
"Saya tegaskan di sini kenyataan berkenaan kecelaruan pemilihan Ahli Majlis dalam Selangor ialah kenyataan saya dan rakan-rakan dari pelbagai cabang dalam Selangor bukan kenyataan beliau," katanya kepada pemberita di sidang media di sini hari ini.
 
Murali berkata demikian sebagai membidas tindakan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor, Borhan Aman Shah yang mengadakan sidang media pada Khamis untuk mengkritik Chegubard berhubung isu itu.
 
Sidang media Borhan itu bagaimanapun disifatkan Murali sebagai gagal apabila hanya berjaya menghimpunkan hanya empat daripada 22 ketua cabang yang lain.
 
Pada sidang media itu Borhan membidas Chegubard apabila bekas ketua cabang PKR Rembau itu mengkritik kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali sebagai tidak telus dalam pemilihan 288 ahli majlis PBT.
 
"Saya juga mengecam kenyataan yang mahu diambil tindakan ke atas chegubard dan sesiapa sahaja kerana mengkritik Azmin Ali.
 
"Jika tindakan diambil maka kita akan dilihat lebih teruk dari Umno-BN kerana kritikan terbuka bukan menjadi satu kesalahan," ujarnya.
 
Murali berkata Chegubard hanya menambah maklumat yang diperolehinya bahawa Azmin membelakangkan cadangan ahli majlis daripada cabang tertentu di Selangor dan garis panduan oleh Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri yang dikeluarkan pada 2013, dalam memilih ahli majlis sesi akan datang.
 
Azmin juga meluluskan pelantikan ahli majlis yang tinggal di luar kawasan tetapi menolak pelantikan Dr Aziz Bari sebagai Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jayan (MPAJ) atas alasan pakar undang-undang itu menetap di Selayang.
 
Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafie berkata kegagalan Aziz menjadi ahli majlis PBT adalah disebabkan masalah teknikal.
 
Aziz sepatutnya mengangkat sumpah sebagai ahli majlis MPAJ pada 21 Januari lalu atas kuota DAP, namun gagal berbuat demikian berikutan namanya tiada dalam senarai berkenaan.
 
"Dalam mesyuarat MPN kamu sebut dengan jelas bahawa Cabang ada hak melantik ahli Majlis dan perlu lulusan SPM (minima). Namun apabila cabang ajukan (cadangan nama) kamu tolak dan kamu namakan kroni kamu termasuk dari luar kawasan, anggota baru dan termasuk yang tidak layak.
 
"Kenapa kita buat kenyataan terbuka ? Kami telah membuat bantahan dalaman dan menulis surat namun semua tidak dipedulikan. Perangai Azmin, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan kumpulan mereka melantik ahli majlis luar dari keputusan cabang ialah tindakan memecah belahkan parti dan melemahkan struktur parti," tegas Murali. 


Tiada ulasan: